KUALA LUMPUR: Pelakon Amar Baharin bersama pendaki Gunung Everest, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin akan menjayakan misi berbasikal Kembara Makkah, tahun depan.
Amar berkata, idea timbul selepas dia dan Muhamad Muqharabbin sering melakukan rutin berbasikal hingga 200 kilometer (KM) seminggu.
"Setiap minggu kami berkayuh antara 100 hingga 200 kilometer, jadi tidak mustahil boleh berkayuh ke Tanah Haram. Rancangannya memang kami nak berkayuh berdua, tetapi tarikh misi bermula kena tunggu sehingga penggambaran drama saya selesai.
"Kalau boleh kami ingin tunaikan Haji tetapi rasanya agak mustahil kerana kami kena ambil kira faktor masa. Perjalanan ke sana lebih kurang 8,000 kilometer iaitu sekitar tiga bulan. Kalau hendak tunaikan haji takut tidak sempat tiba pada 12 Zulhijjah. Jadi, kami mungkin sasarkan untuk tunaikan umrah sahaja," katanya.
Amar berkata, banyak maklum balas positif diterima apabila misi berkayuh ke Makkah dikongsi dalam media sosial.
"Tetapi semua pihak perlu tahu misi ini perlukan pengorbanan masa dan perjalanan tanpa halangan selama tiga bulan. Selain itu, perlu tinggalkan keluarga dalam tempoh lama," katanya.
Ditanya mengenai penerimaan isteri yang juga pelakon dan pengacara, Amyra Rosli, kata Amar, isteri pada mula agak keberatan kerana ini kali pertama mereka berjauhan dalam tempoh lama.
"Untuk sampai ke sana perlukan tenaga yang banyak. Kami bukannya berkereta atau tunggang motosikal. Jadi, isteri agak risau. Tetapi dia mula berlapang dada dan terima misi ini.
"Tetapi saya pun tak biarkan isteri dan anak-anak begitu sahaja. Mungkin ada sesetengah tempat yang boleh keluarga sampai, saya akan terbangkan mereka agar kami dapat berjumpa," katanya yang merancang melakukan umrah bersama keluarga.
Amar juga mengakui tidak bimbang terpaksa menolak 'job' lakonan sepanjang tiga bulan pemergiannya kerana percaya rezeki Allah.
Kredit: berita Harian
0 Comments