Kuala Lumpur: Pelakon Khir Rahman, 51, menganggap kes buli di
sekolah berasrama adalah perkara biasa, tetapi tidak berkompromi apabila
membabitkan sentuhan atau memukul.
Katanya, apa yang berlaku terhadap anaknya dengan anak
penyanyi Spider, Tam serta rakan-rakan mereka di sebuah sekolah berasrama, di
sini, adalah serius.
"Yang berlaku baru-baru ini kes pukul. Kes-kes cuit ini
bahaya. Setahu saya yang berlaku kepada pelajar tingkatan dua ini hanya sebagai
punca. Bila jadi punca banyaklah benda terselak.
"Rupa-rupanya dah banyak kes tapi disenyapkan. Sebelum
ini pun ada kes-kes yang berlaku terhadap pelajar lain tetapi senyap juga.
Barangkali pembuli itu adalah suspek yang sama.
"Kalau ikutkan pelajar tingkatan lima tahun lalu okay,
mereka pelihara budak-budak junior. Tapi tingkatan lima tahun ini, dipukulnya
pula mereka. Itu yang dipanggil enam jahanam kerana mereka yang buat kerja
ini," katanya
Khir sebelum ini mendedahkan, anaknya dan anak Tam Spider
yang kedua-duanya berusia 14 tahun dan beberapa rakan lain di sekolah itu
menjadi mangsa buli enam pelajar sekolah berkenaan.
Anak lelaki Tam Spider turut dibuli di sekolah yang sama
"Mereka adalah orang yang sama. Memang enam orang yang
terbabit buli pelajar tingkatan dua tahun ini.
"Semasa perjumpaan dengan pihak sekolah Sabtu lalu, ibu
bapa bangkit meluahkan perkara sebenar dan isu ini semakin terbongkar,"
katanya.
Khir berkata, pihak sekolah juga tidak konsisten dalam
menentukan hukuman kepada pelajar terbabit.
"Keluarga pelajar mangsa buli memang mahukan tindakan
tegas. Mereka dapat tahu perkara ini dan bangkit. Saya tengok semua ibu bapa
sekolah asrama lain pun bangkit sekarang.
"Selama ini ia disenyapkan. Tak boleh begitu kerana
traumanya akan sampai ke tua. Tak boleh pertahankan sampai boleh berlaku kepada
Allahyarham Zulfarhan.
"Kes bulinya senyap. Pelajar hantar laporan dan surat
layang pun tak dilayan. Budak-budak pembuli ini rasa mereka bebas buat apa
saja. Itu yang bahaya," katanya.
Khir berkata, walaupun anaknya tidak dibuli teruk, tetapi dia
sanggup memperjuangkan perkara ini kerana tidak tahu nasib anaknya selepas ini.
"Anak saya setakat hilang selipar, tapi kalau sekiranya
cedera fizikal, kesannya sampai ke tua dan tak boleh dibaiki lagi. Saya tak
sifatkan ini kes buli tapi lebih kepada kes pukul.
"Apapun kita tak tahu enam jahanam ini bila besar akan jadi orang yang lebih baik. Jadi hukuman ini perlu agak-agak juga. Kita hukum atas kesalahan ini saja dan bukan seluruh hidupnya," katanya.
Kredit: Harian Metro
0 Comments