KAJANG – Seorang pelajar Tingkatan 5 maut digilis lori
selepas terjatuh dari motosikal ditunggangnya di Persiaran Saujana Impian
menghala ke Kajang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul
Yusof berkata, kejadian berlaku ketika remaja lelaki berusia 17 tahun itu dalam
perjalanan ke sekolah dari rumahnya pukul 2 petang.
“Kemalangan itu melibatkan motosikal dengan sebuah lori di
Persiaran Saujana Impian menghala ke arah Kajang.
“Semasa melalui Persiaran Saujana Impian dipercayai mangsa
membrek motosikal yang ditunggang lalu hilang kawalan sehingga menyebabkan
mangsa terjatuh ke atas jalan di laluan sebuah lori yang berada di sebelah
kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang cedera parah di kepala disahkan
meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa diserahkan ke Hospital Serdang manakala kes
disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu lori yang terlibat kemalangan diminta untuk tampil
bagi membantu siasatan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi balai polis yang berdekatan atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-3268496 bagi membantu siasatan,” katanya.
Kredit: KOSMO! ONLINE
0 Comments