Kuala Lumpur: Pelakon aksi dan watak jahat, Azlan Komeng, 48,
patah kaki kiri selain cedera di muka, kepala, tangan dan kaki selepas terbabit
dalam kemalangan di Kuala Lipis, Pahang, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, kereta jenis Perodua
Kancil dipandu Azlan yang turut dinaiki isterinya, Nur Nilam Ortiz dan anak
mereka, Adam, 5, bertembung dengan trak polis.
Kejadian itu turut menyebabkan isterinya cedera di tulang
rusuk, muka dan kepala akibat terhentak. Bagaimanapun, anak mereka tidak
mengalami kecederaan.
Azlan atau nama sebenarnya Muhammad Azlan Kamiran ketika
dihubungi berkata, mereka dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas
menjalani sesi uji bakat di Kuala Lipis.
"Ia berlaku (kemalangan) bukan sebab saya yang hilang
kawalan ketika memandu, tetapi trak polis itu yang masuk ke laluan saya.
"Saya cuba mengelak tetapi gagal dan trak itu melanggar
bahagian depan kereta saya," katanya kepada Harian Metro.
Azlan berkata, mereka kini dirawat di Hospital Kuala Lipis.
Terdahulu, berita kemalangan itu dikongsi Nur Nilam Ortiz di
TikTok dan mendapat perhatian ramai dalam kalangan penggiat seni dan pengguna
media sosial yang mendoakan pasangan itu cepat sihat dan pulih.
Dalam hantaran itu, Nur Nilam Ortiz memaklumkan kereta
dipandu suami itu bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kuala Lipis.
Kredit: Harian Metro
0 Comments