KUALA LUMPUR: Bekas penyampai radio, Kieran, 49, kini dirawat
di Hospital Kuala Lumpur selepas disahkan menghidap kanser prostat.
Kieran atau nama sebenarnya, Maskiran Jakiran berkata, kanser
itu kini sudah mula merebak ke bahagian perut dan paru-paru.
"Saya menghidap kanser prostat yang sudah sedikit
merebak ke perut dan paru-paru. Sekarang, saya menerima rawatan di Hospital
Kuala Lumpur di wad Jabatan Onkologi.
"Kanser ini sudah menyerang agak lama, cuma saya yang
lambat buat rawatan penuh," katanya.
Perlu menjalani empat kali sesi kemoterapi, Kieran berkata,
dia akan terus ditahan di wad sehingga Isnin bagi memudahkan pihak hospital
memantau keadaan kesihatannya.
"Saya ditahan di wad bermula Jumaat lalu dan dijangka
akan dirawat di sini sehingga Isnin depan bergantung kepada keadaan selepas
selesai pusingan pertama kemoterapi ini.
"Jadual yang doktor beri sebanyak empat kali sesi
kemoterapi. Ini sesi minggu pertama selama lima hari dan dimulakan dengan dos
rendah terlebih dahulu bagi lihat reaksi kepada tubuh.
"Jadual seterusnya akan ditentukan nanti," katanya.
Sejak Ogos lalu, Kieran mula menolak tawaran kerja
pengacaraan untuk majlis dan turut dinasihatkan doktor untuk berehat.
"Saya memang sudah tak ambil kerja pengacaraan majlis
sejak Ogos lagi dan memang doktor suruh banyakkan berehat.
"Nampaknya, saya kena rehat betul-betul untuk kebaikan.
Maaf kepada yang tawarkan kerja dan saya terpaksa tolak kerana keadaan saya
tidak mengizinkan," katanya.
Kredit: Berita Harian
0 Comments