SEJAK bulan lalu, satu demi satu cerita perceraian artis perlu ditelan dan dihadam.
Selepas seorang bercerai, timbul pula cerita artis lain naik mahkamah.
Paling menggemparkan tahun ini pastinya kisah perceraian Fattah Amin dan Nur Fazura. Masakan tidak, rumah tangga yang sering terlihat bahagia sehingga dijadikan contoh akhirnya bernoktah dengan perpisahan.
Khabarnya, ramai yang menitiskan air mata apabila menerima khabar duka mengenai rumah tangga mereka pada 7 Oktober lalu.
Sehingga kini, doa masih membanjiri media sosial yang berharap tempoh idah memberi sinar baharu kepada hubungan mereka untuk kembali rujuk.
Bukan itu sahaja, perceraian mereka turut mencetuskan fenomena ‘team Fattah’ dan ‘team Fazura’ sehingga menjadi bahan perdebatan ramai termasuk golongan selebriti dalam media sosial.
Pastinya, isu paling banyak dibahaskan ramai adalah berkenaan Fazura tidak menerima duit raya daripada bekas suaminya.
Itu antara pendedahan yang ‘rare’ pernah dikongsi selebriti tanah air selepas bercerai.
Selalunya, isu nafkah tetapi kali ini sebaliknya pula yang dikongsi.
Meski pihak Fazura menghuraikan satu demi satu kesengsaraan yang ditanggungnya, tumpuan utama tetap diberikan kepada Fattah yang boleh dikatakan menang kategori simpati dan sokongan daripada netizen.
Duda rebutan
Semuanya, disebabkan prinsipnya tidak mahu membalas tindakan bekas isterinya yang membuka aib dan membuat pendedahan tentang punca perceraian mereka.
Jika dilihat trend artis bercerai sebelum ini, pihak lelaki selalunya menjadi mangsa kecaman netizen tetapi kali ini berbeza pula penangannya sehingga muncul trend wanita mahu bekerja keras untuk menghalalkan Fattah.
“Kerja keras semua, ada Fattah Amin yang perlu kita halalkan,” demikian antara komen netizen.
Dalam masa sama, populariti Fattah juga tidak menjunam jatuh seperti artis lain selepas bercerai, sebaliknya dihujani jutaan sokongan sehingga dilabel sebagai duda paling ‘hot’ tahun ini!
Bagi netizen, Fattah, 35, dilihat sebagai duda paling ‘green flag’ (tidak bermasalah) jika dibandingkan dengan artis lelaki lain yang bercerai sebelum ini.
Jadi, perkara tersebut meletakkan Fattah mendahului selebriti lain yang turut tersenarai di belakangnya.
Antara yang berada dalam carta duda ‘hot’ ialah Hisyam Hamid, Sharnaaz Ahmad, Aliff Aziz dan Syamsul Yusof.
“Paling tak bermasalah Fattah dan Hisyam. Dua-dua memang perlu direbut!
“Fattah macam pisang goreng panas selepas bercerai, jadi ‘auto’ kacak
“Lain macam market Fattah sekarang, mencanak-canak!” seloroh netizen
Dalam masa sama, ada juga yang berseloroh kemunculan barisan duda ‘hot’ bakal menggugat selebriti lelaki yang masih bujang seperti Syafiq Kyle, Zizan Razak dan Zul Ariffin.
Begitulah penangan Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd. Amin yang masih mengunci mulut daripada terus melondehkan aib bekas isterinya sehingga hari ini.
Mungkin Fattah boleh memikirkan idea untuk menggunakan populariti yang diraihnya kini untuk menjana pendapatan. Bukan mengambil kesempatan tetapi sekadar menggunakan peluang yang jarang dimiliki.
Cuma, janganlah ada pihak yang mengambil kesempatan mempergunakan pelakon Hero Seorang Cinderella itu demi kepentingan sendiri.
Kredit: Kosmo
0 Comments