JOHOR BAHRU - Pemangku Sultan Johor, Tunku
Mahkota Ismail bertitah pihak yang tidak berpuas hati berhubung pertukaran
semula cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari tahun
depan demi agenda peribadi, melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik
dipersilakan berpindah ke negeri-negeri yang masih bercuti pada hari Jumaat dan
Sabtu.
Menerusi muat naik di laman Facebook HRH Crown Prince Of
Johor, baginda bertitah, keputusan menukar cuti kepada Sabtu dan Ahad bermula
tahun depan merupakan kehendak rakyat Johor untuk meluangkan lebih masa bersama
keluarga dan anak-anak.
Selain itu, titah baginda, ia juga memberi kesan ekonomi yang
positif seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di
negeri ini.
"Ada beberapa negeri masih kekal bercuti hari Jumaat dan
Sabtu. Dalam mempertimbangkan isu berkaitan kehendak rakyat Johor untuk
meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak, kesan ekonomi yang
positif adalah seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi
manfaat di negeri Johor.
"Ini seterusnya akan membawa keuntungan kepada negeri
dan rakyatnya," titah baginda.
Baginda bertitah, pandangan pelbagai pihak diambil kira
sebelum membuat keputusan pertukaran cuti berkenaan.
"Dengan izin dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan
Ibrahim dan pandangan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor, Kerajaan Negeri,
agensi-agensi kerajaan dan rakyat, maka saya telah membuat keputusan untuk
Johor bercuti semula pada Sabtu dan Ahad.
"Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas
hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik,
anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan
Sabtu," titah baginda.
Tunku Mahkota Ismail, dalam kenyataan di Facebook dilaporkan
bertitah, baginda sudah menitahkan perkara tersebut kepada Menteri Besar Johor,
Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk dibincangkan.
Pada 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim menukar cuti mingguan
negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat
selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama rasmi
Johor.
Perubahan itu sebelum ini sebenarnya mengembalikan semula
cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak
sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula
tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin
selaku Menteri Besar.
Kredit: Sinar Harian
0 Comments