KAJANG – Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berkaitan
kes meletakkan kepala khinzir di sebuah kedai roti canai di Bandar Teknologi
Kajang, di sini pada 11 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul
Yusof berkata, kedua-dua lelaki berusia 35 dan 51 tahun itu ditahan pada 15
Oktober lalu.
Beliau berkata, berdasarkan laporan, kejadian terbabit
disedari pemilik kedai selepas melihat rakaman televisyen litar tertutup
(CCTV).
“Menerusi rakaman itu, terdapat dua individu yang tidak dapat
dikenal pasti memakai baju berwarna hitam dan helmet hitam serta merah telah
masuk ke dalam kedainya.
“Mereka kemudiannya telah meletakkan daging kepala babi di
atas kabinet dan dapur roti canai milik pengadu,”katanya dalam satu kenyataan.
Naazron berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi
mengesan dan mendapatkan bukti bagi kes ini.
Sebarang maklumat berkaitan kes tersebut boleh disalurkan di
Balai Polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Sarjan Ahmad
Faizal Hasan di talian 019-7691924 bagi membantu siasatan.
Tambah beliau, klip video berkenaan kejadian itu juga telah
tular di aplikasi X yang telah dikongsi pemilik akaun X update11111 yang
memaparkan kejadian dua individu meletakkan kepala khinzir disebuah kedai
makan. –
Kredit: KOSMO! ONLINE
0 Comments