KUALA LUMPUR: "Demi Allah, saya tak tahu (Ina akan
kahwin). Serius saya memang tak tahu. Tiba-tiba nama saya pula dikaitkan,"
kata anggota Hijjaz, Isman Nadim Isam apabila dirinya didakwa sebagai lelaki
yang bakal menikahi Ina Naim.
Isman ketika dihubungi berkata, dia tidak ada kena-mengena
dengan cerita perkahwinan itu dan amat terkejut apabila namanya dikaitkan
sebagai calon suami baharu, Ina yang juga balu kepada penyanyi nasyid,
Allahyarham Suhaimi Saad.
"Saya amat terkejut dengan cerita ini. Tak tahu dan tak
ada kena-mengena dengan saya (cerita perkahwinan). Ina pun dah saya anggap
macam adik. Demi Allah, individu itu bukan saya. Saya langsung tak tahu fasal
benda ini yang tiba-tiba nama saya disebutkan.
"Memanglah saya baik dengan Ina, tak dinafikan. Saya
baik bukan saja dengan Ina seorang, tetapi rapat juga dengan kedua-dua ibu
bapanya juga. Malah, keluarga saya sendiri pun baik dengan Ina.
"Tapi baiknya saya dengan Ina, janganlah sampai nak kaitkan saya dengan perkahwinan bersamanya. Malah, kalau kata kad kahwin sudah diedarkan, mestilah tahu juga nama bakal pengantin lelaki dan tarikh majlis berlangsung," katanya.
Menurut Isman, dia berasakan cerita berkaitan perkahwinan ini
tidak berasas dan kurang manis juga untuk diperkatakan berikutan Ina seorang
balu dan Suhaimi juga baharu meninggal dunia yang belum sampai setahun.
Baru-baru ini, timbul desas-desus mengenai Ina atau nama
sebenarnya, Nordiana Mohd Naim, 40, didakwa bakal berkahwin baharu dengan
lelaki pilihan yang juga berstatus artis nasyid apabila kad jemputan sudah
diedarkan di kampung wanita itu di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor.
Terdahulu, Ina berkahwin dengan arwah Suhaimi atau nama
sebenarnya Mohd Suhaimi Saad, 43, pada 12 Ogos 2007. Namun, Suhaimi meninggal
dunia pada 15 November 2023 akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Hasil perkongsian hidup Ina dan arwah Suhaimi, mereka
dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri,
Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.
Kredit: Berita Harian
0 Comments