‘Jadi isteri kedua, kalau pandai bawa diri pasti orang sayang’

‘Jadi isteri kedua, kalau pandai bawa diri pasti orang sayang’


PETALING JAYA – Pelakon Zarina Zainuddin menasihatkan mana-mana wanita yang berstatus isteri kedua agar bijak membawa diri supaya tidak mengundang kebencian ramai.

 

Menurut Zarina atau Nur Zarina Mohd Zainuddin, 53, isteri yang berkongsi suami perlu bijak menyesuaikan diri adalah elemen penting untuk memastikan disayangi individu lain.

 

“Sebenarnya jadi isteri nombor dua ini perlu pandai bawa diri, pasti orang akan sayang dan hargai.

 

“Tetapi kalau tidak tahu bawa diri dan fikir diri sendiri sahaja, pasti orang akan marah.

 

“Kena susah senang sama-sama. Hargai keluarga itu perkara penting,” katanya dalam satu temu bual podcast.

 

Menerusi perkongsian sama, dia juga mengakui hatinya pernah berbolak-balik sebelum nekad berkahwin dengan Datuk Seri Raihan Wan Jaafar dan memilih hidup bermadu.

 

Kongsinya, hatinya mula terbuka selepas melihat kesungguhan suaminya ketika mahu melamarnya untuk dijadikan isteri.

 

“Ketika bertemu dengan suami pada awal perkenalan, saya cakap tak mahu sebab dia suami orang tetapi dia baik.

 


“Dia kata nak kahwin kerana mahu orang hormat saya. Kemudian saya berfikir panjang sebab dia berstatus suami orang dan mak juga tidak setuju.

 

“Kemudian saya solat istikharah minta petunjuk sekiranya dia benar-benar jodoh saya tetapi ketika itu kami tidak bercinta pun,” ujarnya.

 

Dia juga mengakui perasaan bersalah turut menyelubungi dirinya kerana enggan memporak-perandakan rumah tangga orang lain.

 

“Cuma dia sangat baik. Saya juga beritahu kalau dia benar-benar ikhlas, bawa saya bertemu dengan isterinya.

 

“Keesokan hari, dia terus bawa saya jumpa dengan keluarganya. Ketika itu anak-anaknya masih kecil dan saya bertanya pada diri kenapa nak ambil suami orang.

 

“Saya sebak ketika itu sehingga beritahu kalau ada wanita lebih baik, carilah lain.

 

“Kemudian isteri dia (madunya sekarang) tanya saya kenapa pilih suami saya? Adakah sebab memiliki rumah dan kereta besar?

 



“Saya balas, saya pernah jumpa orang lebih kaya tetapi belum lagi bertemu dengan individu yang ada jiwa besar yang sudi ambil saya sebagai isteri,” jelasnya.

 

Meski memberi restu, Zarina juga memberitahu wanita tersebut berpesan kepadanya agar sentiasa menjaga maruah keluarga dengan mengelak melakukan perkara tidak sepatutnya.

 

“Madu saya izinkan berkahwin tetapi dengan syarat perlu menjaga maruahnya dan keluarga.

 

“Sebab itu saya tidak terlalu menonjolkan kisah keluarga kepada umum sebab sedar saya pun menumpang kasih sayang orang.

 

“Kadang-kadang netizen yang lebih-lebih dan cakap saya penyondol dan jahat.

 

“Sedangkan hubungan kami baik, dia pun banyak menegur saya bila saya lakukan kesilapan, semuanya bersama-sama. Dan sudah kenal hati budi masing-masing,” jelasnya.

 

Terdahulu, Zarina mendirikan dengan Raihan Wan Jaafar sebagai isteri kedua pada 13 Julai 1993 dan dikurniakan empat orang anak lelaki termasuk sepasang kembar termasuk Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan (Azal) dan Muhammad Razil Azrai Abu Raihan (Azil).

 

Kredit: KOSMO! ONLINE




Post a Comment

0 Comments