PETALING JAYA – Hampir enam tahun bergelar suami isteri,
perkahwinan penyanyi Kaka Azraff dan suaminya, Adam Azriff menemui noktah
apabila mereka dikatakan bercerai talak satu hari ini.
Pengesahan lafaz cerai yang difahamkan dilakukan secara
ekspres itu berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, tengah hari
tadi.
Sumber yang enggan dikenali berkata Kaka atau nama
sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 35, dilihat hadir ke mahkamah seawal pukul 9
pagi tadi.
Bahkan, dia dan bekas suaminya dikatakan berpisah secara baik
dan bersepakat dalam hal penjagaan tiga anak mereka.
“Saya difahamkan Kaka belum sedia untuk membuka mulut
berhubung perceraian yang sudah disahkan di mahkamah hari ini.
“Puncanya memang dia tak beritahu dan tak kongsi pun hal
peribadi. Selama ini mereka macam suami isteri lain, tak nampak pula masalah
besar.
“Kita doa yang baik-baik sahaja untuk mereka dan anak-anak.
Mereka pun masih bersahabat dan menjaga anak-anak sama-sama,” kata sumber
terdekat penyanyi terbabit.
Menerusi semakan, kali terakhir Kaka berkongsi momen bersama
keluarga kecilnya adalah pada hari ini ketika mereka menyertai aktiviti di
sebuah premis permainan.
Sekali gus, tidak menunjukkan sebarang tanda rumah tangga
yang dibina pada 14 Disember 2018 itu bermasalah atau bakal runtuh di tengah
jalan.
Terdahulu, pasangan terbabit hanya bercinta selama tiga bulan
sebelum diijabkabulkan sebagai suami isteri.
Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, 5, dan Aryan, 3, dan Atta Adam, 15 bulan.
Kredit: KOSMO! ONLINE
0 Comments