Port Dickson: Aktiviti sewaan khemah biru di Pantai Telok
Kemang yang sering mencetuskan pertikaian di antara peniaga dan orang ramai
yang mahu menggunakan pantai awam itu, diarah dihentikan berkuat kuasa 18
November depan.
Notis dikeluarkan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan
turut tular dalam media sosial, antara lain memaklumkan semua khemah dan
peralatannya perlu dibersihkan dari tapak perniagaan.
Surat ditandatangani Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid
itu, menyenaraikan alasan tindakan terbabit, termasuk aktiviti sewaan khemah
biru di Pantai Telok Kemang menjejaskan nama baik Port Dickson sebagai pantai
peranginan.
"Ini ditambah lagi dengan tindakan segelintir peniaga
yang menghalau orang awam daripada menggunakan pantai awam," menurut notis
berkenaan.
Arahan menghentikan sewaan khemah mulai 18 November itu turut
membabitkan Pantai Telok Kemang, Pantai Tanjung Biru dan Pantai Cermin.
Ia sebagai persediaan bagi menambah baik perniagaan khemah di
pantai daerah ini.
Selain itu, larangan memulakan apa-apa perniagaan sebagai
ganti yang jika tidak dipatuhi, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 46 Akta
Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Jika tidak mematuhi mana-mana kehendak notis, MPPD akan
memindahkan dan mengalihkan halangan terbabit tanpa notis selanjutnya.
"Pengusaha khemah juga dikehendaki melakukan pembersihan
dan menghilangkan semua peralatan seperti khemah, meja, kerusi, payung,
struktur atau binaan tempat simpanan dan sebagainya.
"Pihak majlis akan melupuskan apa-apa peralatan yang
masih kekal di pantai sekiranya ada selepas pemantauan dilakukan," menurut
notis berkenaan.
Sehingga kini, masih terdapat peniaga ingkar dengan syarat
dan peraturan yang ditetapkan MPPD dalam surat bertarikh 18 Jun 2020.
Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Negeri Sembilan akan
berbincang dengan pengusaha khemah di sekitar Pantai Telok Kemang susulan isu
deretan khemah sewa di kawasan itu yang didakwa mengganggu pemandangan orang
ramai.
Kredit: Harian Metro
0 Comments