BACHOK: Kisah sedih
pelajar cemerlang, Nur Nasuha Nusi, 12, untuk menduduki peperiksaan khas Maktab
Rendah Sains Mara (MRSM) mendapat perhatian Majlis Amanah Rakyat (MARA) kurang
dua jam dipaparkan di media hari ini.
Kisah pelajar itu mendapat reaksi segera Pengerusi MARA,
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memuat naik berita pelajar berkenaan di
Facebooknya, sebentar tadi.
Asyraf Wajdi berkata, pihaknya sudah meminta MRSM Kuala Krai
berhubung dengan ibu bapa pelajar itu dan menguruskan pengangkutan untuk Nur
Nasuha menduduki ujian Kecenderungan MRSM (UKKM).
Katanya, dia sering menyebut berulang kali jangan jadikan
kemiskinan ataupun kekangan kewangan sebagai penghalang untuk menyambung
pengajian.
"MARA akan cuba sedaya upaya untuk membantu supaya tiada
pelajar cemerlang yang tercicir. Maklumkan terus kepada saya jika ada kes-kes
sebegini," tulisnya.
Asyraf Wajdi berkata, Bahagian Pendidikan Menengah MARA akan
memberi tarikh baharu UKKM kepada calon yang memohon penukaran tarikh ujian
atas pelbagai sebab yang akan dimaklumkan pada 23 Oktober ini.
Sementara itu, bapa Nur Nasuha, Mohd Nusi Mamat, 38,
berterima kasih atas maklum balas segera Asyraf dan pihak MARA berhubung kisah
anak keduanya itu.
"Saya sudah dihubungi guru daripada MRSM Kuala Krai
petang tadi untuk mengambil anak menduduki ujian UKKM, esok.
"Selain tercapai hasrat menduduki ujian untuk
ke MRSM, keluarga saya turut menerima kunjungan pihak Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
(MAIK) yang turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan bakul makanan.
"Anak (Nasuha) sangat gembira dengan berita ini dan
nampak tak sabar mahu menduduki ujian esok, saya berterima kasih kepada semua
pihak yang prihatin dengan keadaan kami," katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, kisah Nur Nasuha dari Kampung Lubuk Nibong, Pak
Badol yang sedih kerana tercicir menduduki ujian UKKM ke MRSM kerana kemiskinan
keluarga selepas bapanya, Nusi disahkan menghidap penyakit gastrik kronik sejak
dua tahun lalu.
Keadaan kesihatan bapanya menyebabkan dia dan empat adik-beradik serta ibu, Nurul Izzati Nor, 31, yang sarat mengandung tujuh bulan hidup dalam keadaan daif dengan hanya mempunyai satu motosikal serta sering terputus bekalan makanan.
Kredit: Berita Harian
0 Comments