Johor Bahru: Kerajaan negeri mahupun agensi kerajaan di Johor
tiada kaitan dengan penganjuran sebuah larian yang mempromosikan budaya
songsang di Bandar Penawar, Kota Tinggi di sini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan
negeri tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak
bagi menganjurkan acara yang menjejaskan sensitiviti agama Islam di negeri ini.
Beliau berkata, selepas berhubung dengan pihak Polis Diraja
Malaysia (PDRM) dan penganjur, objektif penganjuran acara itu bukanlah seperti
yang dinyatakan dan kejadian yang berlaku adalah di luar kawalan pihak
penganjur.
Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius isu itu dan
menggesa polis menjalankan siasatan lanjut.
Katanya, kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas dan
tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan acara yang
mencetuskan isu yang menggugat keharmonian dan kedaulatan agama Islam serta
menjatuhkan imej negeri Johor secara keseluruhan.
"Berikutan isu yang tular berkaitan pelancong berpakaian
songsang ketika larian di Kota Tinggi, kita menegaskan bahawa acara tersebut
bukanlah anjuran Kerajaan Negeri mahupun agensi kerajaan di negeri Johor.
"Kerajaan negeri berharap isu ini tidak dipanjangkan
sehingga menjejaskan dan mengancam keharmonian negeri serta kesucian agama
Islam," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Terdahulu menerusi kenyataan media, Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri menyatakan beliau difahamkan acara asal
adalah larian antarabangsa anjuran sebuah persatuan.
Beliau menyatakan menerusi gambar tular, didapati bahawa
peserta berpakaian tidak senonoh dan mempromosi budaya lesbian, gay, biseksual
dan transgender (LGBT).
Tular foto dan video berkenaan yang berdurasi tujuh saat
memaparkan sekumpulan penari wanita membuat persembahan dengan pakaian mencolok
mata serta peserta berpakaian seperti penyokong LGBT.
Kredit: Harian Metro
0 Comments