Tular sebuah kejadian di media sosial Xiaohongshu, di mana
seorang pelancong China meluahkan rasa kecewa mengenai pengalaman buruknya
semasa melancong ke Malaysia dan ‘taubat’ tidak mahu datang ke negara ini lagi.
Pelancong ini kecewa selepas menghadapi kesukaran dengan
ketiadaan papan tanda dalam bahasa Cina dan masalah memahami bahasa Inggeris
tempatan.
Pelancong China ini berkongsi pengalaman yang
mengecewakan di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semasa mahu membeli tiket KLIA Ekspres.
Perkhidmatan KLIA Ekspres menyediakan sambungan terus tanpa
henti dari KLIA ke Kuala Lumpur Sentral dengan harga RM55 untuk seorang dewasa.
Namun, pelancong tersebut menyangka harga tambang adalah RM8.50 untuk perjalanan dari KLIA ke Kuala Lumpur.
Harga tersebut sebenarnya adalah untuk KLIA Transit, sebuah
perkhidmatan berbeza yang berhenti di beberapa stesen dengan tambang yang lebih
rendah.
Oleh kerana kurang faham tentang sistem tiket tersebut, dia
meminta bantuan daripada seorang kakitangan.
Walaupun dibantu untuk membuat pembayaran, dia terkejut
apabila jumlah yang perlu dibayar adalah RM110 untuk dua tiket KLIA Ekspres.
Lebih mengecewakan, pelancong tersebut menyatakan bahawa jika
dia mengetahui harga tambang terlebih dahulu, dia lebih rela menggunakan Grab
ke pusat bandar dengan kos yang sama.
“Saya hampir tidak memahami bahasa Inggeris, dan sebutan
orang tempatan sukar untuk saya fahami. Saya salah faham ia adalah perkhidmatan
yang murah, tetapi rupanya adalah laluan ekspres yang mahal,” katanya.
Tambahnya lagi, dia kecewa kerana tidak berjumpa dengan
kakitangan KLIA yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin.
Dia juga cuba mendapatkan bayaran balik, tetapi gagal kerana
halangan bahasa.
Kecewa dengan apa yang disifatkan sebagai layanan yang kurang
memuaskan, pelancong ini membuat laporan polis, namun diberitahu bahawa ia
bukan perkara yang boleh diselesaikan oleh pihak berkuasa.
Hantaran tersebut dengan mendapat perhatian netizen Malaysia,
dengan pelbagai reaksi dan komen.
Ada yang simpati dengan pengalaman pelancong ini, sementara
ada juga yang menegaskan bahawa sebagai pelancong, dia perlu lebih bersedia dan
memahami sistem tempatan.
Isu ketiadaan papan tanda dalam bahasa Cina juga mencetuskan
perbincangan hangat, terutamanya dalam konteks negara pelbagai budaya seperti
Malaysia.
Kredit: Vocket
0 Comments