DUNGUN - Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Dungun
pada Selasa atas tiga pertuduhan melanggar empat pelajar Universiti Teknologi
Mara (UiTM) kampus Dungun, 9 Oktober lalu.
Baca juga: "Abang dia pun meninggal kemalangan, saya redha ni sudah
takdir" - Bapa
Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ke atas
tertuduh, Norizan Ismail, 49, dibacakan dihadapan Majistret, Nur Amira Fatihah
Osman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh
dengan menyebabkan kematian terhadap tiga pelajar, Muhammad Akmal Md Tukirin,
25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Jamaludin, 20.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pantai, hadapan UiTM
Dungun jam 7.35 malam.
Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman mati atau
penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak
dihukum mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
Bagaimananapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada
tertuduh selepas pertuduhan dibacakan.
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan
mental di Hospital Permai, Johor Bahru selama sebulan dan menetapkan tarikh
sebutan semula kes pada 17 November depan.
Sementara itu, sepanjang prosiding tersebut tertuduh yang
berpakaian lokap polis berwarna oren kelihatan resah dan sugul.
Pendakwaan ke atas tertuduh dijalankan Timbalan Pendakwa Raya
merangkap Pengarah Pendakwaan Negeri, Azizan Abdullah manakala tertuduh
diwakili peguam, Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.
Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan Mahkamah Majistret
Dungun kira-kira jam 8.40 pagi dengan menaiki kenderaan polis.
Tertuduh sebelum ini ditahan reman bermula Khamis lalu dan
berakhir pada Selasa.
Dalam kejadian pada 9 Oktober lalu, wanita itu yang memandu
kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar
berkenaan yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas menyertai aktiviti
riadah dan makan malam.
Tiga mangsa yang maut ialah dua penuntut Ijazah Sarjana Muda
Perakaunan iaitu Ku Adib Aizad dan Khairil Anwar serta pelajar Ijazah Sarjana
Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Muhammad Akmal.
Seorang lagi mangsa yang cedera dalam nahas itu ialah penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20.
Kredit: Sinar
0 Comments