KONAWE SELATAN: Gara-gara 'mendisiplinkan' anak polis,
seorang guru tidak tetap telah ditahan pihak berkuasa hingga mengundang
bantahan banyak pihak.
Insiden itu menimpa Supriyani, 37, yang berkhidmat di Sekolah
Dasar Negeri (SDN) 4 di Baito, Kabupaten Konawe Selatan, Sulawesi Tenggara
setelah ibu bapa murid berkenaan bertindak membuat laporan kepada polis.
Kandungan aduan itu menyebut, guru berkenaan telah mengasari
D, 6, yang merupakan anak seorang anggota polis ketika kejadian pada April
lalu.
Ia berpunca setelah murid berkenaan mengadu kepada ibu
bapanya bahawa kesan luka pada bahagian belakang pahanya kerana dipukul
Supriyani dengan menggunakan penyapu.
Siasatan awal mendapati D pada mulanya memberitahu luka itu
akibat jatuh kerana bermain di sawah.
"Tetapi, kenyataan itu berubah apabila disoal semula
oleh bapanya," ujar jurucakap polis, Febry Syam pada Isnin.
Kes kontroversi itu turut menjadi topik perbincangan hangat
para guru dan warganet hingga mencetuskan kempen 'Save Ibu Supriyani'.
Difahamkan, pihak sekolah turut mengesahkan murid tersebut
tidak dipukul seperti didakwa, namun tidak diterima ibu bapanya.
"Wakil sekolah itu turut meminta maaf kepada mereka.
Tetapi, permohonan maaf itu dianggap pula sebagai pengakuan salah untuk
dilaporkan kepada pihak berkuasa berserta bahan bukti," ujar jurucakap SD
berkenaan.
Menurutnya, ibu bapa murid itu juga tergamak meminta 'wang
damai' berjumlah 50 juta rupiah (RM15,000) dan mengarahkannya berhenti
mengajar, namun Supriyani enggan membayar kerana dia hanya menegur anak mereka
selain kurang berkemampuan.
Ketika ditemui media pada Selasa, Supriyani menangis dalam
gembira setelah mahkamah bersetuju menangguhkan penahanannya setelah dia
dipenjarakan sejak 16 Oktober lalu.
Dia yang sudah berkhidmat sebagai guru tidak tetap selama 16
tahun bakal tampil untuk perbicaraan pertama kes itu pada Khamis.
Kredit: Sinar Harian
0 Comments