Pembunuh Altantuya bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) terlepas hukuman mati

Pembunuh Altantuya bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) terlepas hukuman mati


PUTRAJAYA – Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri yang didapati bersalah membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dalam kejadian tragis 18 tahun lalu, terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan.

 

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas membenarkan permohonan semakan hukuman mati yang dikemukakan Azilah ,48, untuk mengetepikan hukuman mati itu.

 

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

 

Semasa prosiding, mahkamah dimaklumkan bapa kepada Altantuya, Dr. Shaariibuu Setev menyokong permohonan semakan hukuman mati yang difailkan oleh bekas komando polis itu diganti kepada pemenjaraan.

 

Perkara itu dimaklumkan, peguam J.Kuldeep Kumar yang mewakili Azilah, membaca sebahagian isi surat yang ditulis Dr Shaariibuu Setev.

 

“Kami ada surat daripada bapa mangsa, beliau juga meminta supaya hukuman mati diganti kepada penjara,” kata Kuldeep Kumar ketika berhujah hari ini.

 

Sementara itu peguam pemerhati bagi kelurga Altantuya, Sangeet Kaur Deo mengesahkan kewujudan dan mempunyai salinan asal surat berkenaan.

 

Azilah membuat permohonan semakan hukuman mati berikutan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun lalu.

 

Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.

 

Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun berdepan sebatan minimum sebanyak 12 kali.

 

Untuk rekod Azilah telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati pada 2009 bersama seorang lagi bekas anggota polis iaitu Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara pukul 10 malam 19 Oktober 2006 hingga 1 pagi esoknya.

 

Mayat Altantuya ditemui diletupkan dengan bom tangan jenis C4

Seorang lagi individu iaitu penganalisis politik, Abdul Razak Baginda telah dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat melakukan pembunuhan tersebut oleh mahkamah yang sama.

 

Bagaimanapun pada 2013, Mahkamah Rayuan membebaskan Azilah dan Sirul Azhar atas pertuduhan tersebut.

 

Kemudian pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Azilah dan Sirul dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap mereka seperti mana yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

 

Sirul masih berada di Australia selepas dibebaskan dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney pada 2023 atas kesalahan berada di negara itu melebihi tempoh masa yang ditetapkan.

 

Dia ke negara kanggaru itu dua bulan selepas dilepaskan dan dibebaskan oleh mahkamah bagi melawat anak lelakinya.

 

Pada 2020, Azilah sekali lagi tidak bernasib baik apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk dibicarakan semula dan semakan sabitan terhadapnya.

 

Pada 2021, dalam perbicaraan saman sivil yang dikemukakan keluarga Altantuya terhadap Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu Azilah secara sukarela memberitahu pasukan penyiasat mengenai lokasi Altantuya ditembak dan diletupkan pada 2006.

 

Pegawai penyiasat polis Asisten Superintendan Koh Fei Cheow semasa memberi keterangan berkata beliau yang ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) telah diarahkan menyoal siasat Azilah pada 11 November 2006.

 

Sebelum ini, media melaporkan Azilah merupakan 900 banduan akhir yang telah memohon semakan hukuman gantung.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut memaklumkan secara keseluruhan terdapat lebih 1,060 banduan akhir termasuk Sirul Azhar yang disabit dengan kesalahan sama. 


Kredit: KOSMO! ONLINE





Post a Comment

0 Comments