Kuala Lumpur: Penyanyi Stacy Anam, 34, menarik diri daripada
konsert A Night With Sumandak Stars kerana mendakwa terdapat syarat yang
diletakkannya tidak dipatuhi penganjur iaitu Orange International
Entertainment.
Stacy berkata penarikan diri itu terpaksa dibuat kerana
memikirkan reputasi kerjaya seninya selain ada pesanan daripadanya yang tidak
diambil serius termasuk poster promosinya.
"Mereka sendiri pun belum ada 'soft lock' ataupun
kontrak sebab saya mungkin orang terakhir untuk beri pengesahan. Jadi saya
masih ada masa untuk tarik diri atau tidak mahu terbabit.
"Saya ada rasa sedikit terkilan dan cuba berfikiran
positif mungkin ada kesilapan teknikal. Saya bertanya adakah perkara itu
disengajakan. Tak tahulah, saya tak boleh cakap lebih.
"Saya tak nak orang buat andaian takkan sebab poster.
Bukan semata-mata sebab itu, tapi ada syarat-syarat yang saya sudah
pesan," katanya.
Penyanyi Pelangi Senja itu juga tidak sangka ada beberapa
perkara yang menyimpang meskipun sudah dibuat perbincangan dan diletakkan
syarat.
"Rasa terkejutlah, lain yang kami bincangkan, lain pula
yang keluar dan terjadi. Tapi poster itu pun antara syaratnya. Tujuan saya
bersuara pun sebab saya pun ada karier hendak dijaga," katanya.
Poster konsert terbabit menjadi bualan hangat kerana gambar
Stacy bukan diletakkan sebagai yang utama.
Sebaliknya Bella Astillah diletakkan sebagai 'bintang utama'.
Semalam, penganjur memuat naik poster terbarunya yang
meletakkan semua artis terbabit sama rata tanpa gambar Stacy selepas
pengumumannya menarik diri.
Menerusi kenyataannya, penganjur menjelaskan tidak pernah di
pengaruhi atau perlu mengikut kehendak mana-mana artis untuk menjadikan sesuatu
konsert itu hebat dan berjaya.
"Kesemua yang dimuktamadkan adalah di atas persetujuan
bersama dan sebagai penganjur juga sudah tentu kami mempunyai hak mutlak untuk
memilih sesiapa sahaja untuk membarisi konsert kami.
"Untuk barisan artis yang akan bersama pada setiap
konsert kami adalah cetusan idea dari pasukan kami sendiri dengan mengambil
kira kesemua faktor-faktor dan konsep yang akan di ketengahkan.
"Diharap semua dapat menerima kepelbagaian dan warna
warni di dalam industri hiburan tanah air ini. Kita raikan perbezaan ini dengan
berlapang dada," katanya.
Konsert A Night With Sumandak Stars menampilkan Marsha Milan,
Nikki Palikat, Adira Suhaimi, Bella, Wani Kayrie, dan Didi Astillah itu akan
berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 November ini.
Kredit: Harian Metro
0 Comments