ISTERI kepada pelakon lagak ngeri, Azlan Komeng iaitu Nur
Nilam Ortiz tidak dapat menahan sebak apabila mendengar luahan hati suaminya
tentang ‘membawa haluan masing-masing’.
Nur Nilam berkata, dia tergamam sejurus mendengar bait-bait
perkataan diluahkan Azlan yang mungkin terlalu banyak memikirkan perkara ke
arah itu dan ia agak memberikan kesan buat dirinya sendiri.
Menyifatkan Azlan sebagai suami terbaik, Nur Nilam mengakui
tidak mampu membayangkan apa yang bakal terjadi sekiranya dia berpisah dengan
aktor tersebut.
”Waktu dia (Azlan) tengok saya lap badan, dia cakap kalau nak
bawa haluan masing-masing pun okay.
”Dia cakap pada saya yang dia dah lumpuh, tak boleh kerja
atau menyara saya. Kita masih berkawan.
”Saya kata kalau setakat cacat tak ada hal lah... Empat tahun
kita hadap macam-macam,” katanya menerusi temu bual portal Astro Gempak pada
Jumaat.
Minggu lalu, dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan berita
kemalangan Azlan, 48, dan isteri apabila kereta jenis Perodua Kancil dipandunya
bertembung dengan sebuah kenderaan sewaktu dalam perjalanan ke tapak
perniagaan.
Bintang Pagari Bulan tersebut mengalami kecederaan parah
iaitu patah pada tangan kanan, kedua-dua belah kaki dan pinggul.
Bukan itu sahaja, Azlan dilaporkan sudah menjalani pembedahan
di Hospital Kuala Lipis, Pahang untuk mencantumkan semula kulit tangannya yang
terkoyak dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail Batu
Pahat, Johor.
Nur Nilam memberitahu, tindakan pantas suaminya yang menjadi
'perisai’ ketika kemalangan membantu mengurangkan impak terhadap dirinya,
menyebabkan dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius melainkan sekadar
bengkak serta luka ringan.
Wanita kacukan Siam dan Sepanyol itu turut menambah, Azlan
berkemungkinan lumpuh kedua-dua belah kaki akibat kecederaan parah yang
dialami.
”Walaupun orang kata selepas ini dia takkan jadi Azlan Komeng
seperti sebelumnya, dia tetap suami saya.
”Kalau dia cakap ditakdirkan lumpuh, tak apa saya okay,”
ujarnya lagi.
Kredit: Sinar
0 Comments