Kuala Lumpur: Kekecohan yang membabitkan rakyat Palestin yang
ditempatkan di Wisma Transit, Kuala Lumpur dengan anggota keselamatan yang
tular di media sosial baru-baru ini sudah diselesaikan, kata Duta Palestin ke
Malaysia Walid Abu Ali.
Sambil melahirkan kekesalan terhadap insiden yang membabitkan
dua wanita Palestin itu, Walid berkata ia tidak mencerminkan tingkah laku
rakyat Palestin secara umum.
Menurut beliau, kakitangan kedutaan sudah melawat pusat
berkenaan dan bertemu dengan pegawai keselamatan serta rakyat Palestin yang
terlibat untuk menyelesaikan perkara itu.
"Saya mengecam apa yang berlaku, dan ia tidak sepatutnya
berlaku lagi," katanya kepada Bernama pada Jumaat.
Wisma Transit adalah kemudahan di bawah Kementerian
Pertahanan Malaysia yang digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk menyediakan
penginapan.
Menurut Walid, individu terbabit bertindak secara emosi
kerana kecewa tidak dibenarkan keluar dari pusat itu atas sebab keselamatan.
Walid berkata beliau sudah bertemu pegawai Kementerian
Pertahanan pagi Jumaat untuk membincangkan keadaan itu.
"Isu ini telah dibincangkan dan diselesaikan. Apa yang
berlaku adalah salah, dan kami tidak mahu memanjangkannya.
Bagi pihak Palestin, saya memohon maaf kepada semua rakyat
Malaysia," katanya.
Di tengah-tengah keganasan Israel di Gaza, Malaysia berjaya
membawa 40 rakyat Palestin yang cedera untuk rawatan di Malaysia, bersama 80
saudara mereka dari Kaherah, pada 16 Ogos lepas.
Pesakit-pesakit berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital
Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT) di Kuala Lumpur, manakala saudara mereka
yang tidak cedera ditempatkan di lokasi transit yang disediakan oleh
Kementerian Pertahanan.
Duta berkenaan sekali lagi menyatakan penghargaan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Malaysia, serta rakyat Malaysia atas sokongan kuat terhadap perjuangan Palestin.
Kredit: Harian Metro
0 Comments