"Saya sudah maafkan dia, walaupun lepas di dunia akhirat belum tentu" - Bapa arwah Along Spoon

"Saya sudah maafkan dia, walaupun lepas di dunia akhirat belum tentu" - Bapa arwah Along Spoon

 



Kuala Lumpur: "Saya sudah maafkan dia dari dulu lagi. Apa yang terjadi adalah ketentuan Allah SWT," kata bapa kepada penyanyi, Allahyarham Along Spoon iaitu Shafiee Mohd Yusof, 75, ketika ditanya mengenai pembunuh anaknya itu.

 

Shafiee atau lebih mesra disapa Pak Engku berkata, pada mulanya, dia tidak boleh menerima hakikat berita mengenai kematian anaknya itu.

 

"Pada awalnya, saya sukar untuk menerima kenyataan dengan cara pemergian anak saya itu dan itu adalah kesilapan saya.

 

"Selepas sekian lama, saya cakap 'Ya Allah, Kaulah berkuasa dan aku terima segalanya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

 

"Saya tiada keinginan untuk berjumpa dengannya. Hati ini sudah terluka, itu dia punya hal. Tetapi kalau dia datang nak minta maaf, saya terima. Tiada masalah pada saya. Kalau saya sendiri nak jumpa dia, mungkin tidak payahlah," katanya.

 

Pak Engku berkata, setakat ini individu terbabit yang dibebaskan dari penjara tahun lalu tidak pernah datang untuk memohon maaf kepadanya dan keluarga.

 

"Saya menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah. Bagi saya, apabila pesalah sudah dilepaskan tidak mengapa kerana dia lepas di dunia tetapi esok di akhirat menjawablah.

 

"Lagipun, ajal maut ketentuan Allah. Kalau saya sihat dan gagah perkasa, saya tunggu dia depan penjara," katanya.

 

Terdahulu, bekas anggota polis, Mohd Ya'cob Demyati yang menjalani hukuman penjara 33 tahun dibebaskan pada 16 November tahun lalu.

 

Dia didakwa membunuh Along Spoon atau nama sebenarnya, Sabi'ul Malik di tepi jalan di Kilometer 28, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu, jam 1 pagi, 26 Disember 1999.

 

Along yang popular dengan lagu Rindu Serindu Rindunya sebelum itu dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999.

 

Bagaimanapun, polis menemui rangka manusia yang dipercayai milik arwah yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Januari 2000.


Kredit: Harian Metro

 




Post a Comment

0 Comments