Alor Setar: Suspek lelaki berusia 38 tahun yang dipercayai
mencampak pesara kewangan Felcra, Sabari Baharom, 62, disyaki membelanjakan
RM16,000 untuk berjudi di Batam, Indonesia, sebelum ditahan polis.
Menurut sumber, suspek dan bersama anak saudaranya yang
berusia 26 tahun ke Batam selepas bertindak membunuh Sabari dan mengeluarkan
wang simpanannya berjumlah RM16,000.
Katanya, suspek terbabit juga didapati mengalami masalah
ketagihan judi dan sering keluar negara bagi melakukan kegiatan berkenaan.
"Suspek dipercayai membunuh Sabari pada 4 September
lalu, sebelum bertindak ke Batam, Indonesia untuk berjudi.
"Suspek dikatakan mengalami ketagihan judi dan turut
bermain judi dalam talian.
"Suspek dipercayai menghabiskan wang yang disamunnya
dari mangsa di sebuah kasino sebelum pulang ke tanah air," katanya ketika
dihubungi di sini, hari ini.
Difahamkan suspek dan anak saudaranya ditahan polis di
kawasan sempadan di selatan tanah air pada Jumaat lalu, selepas tidak menyedari
polis berjaya mengenal pasti identiti mereka.
Terdahulu, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh memaklumkan,
operasi pencarian mayat Sabari dihentikan petang semalam, selepas polis gagal
menemui sebarang petunjuk sejak tiga hari lalu.
Sabari dilaporkan hilang sejak 4 September lalu dan gagal
dikesan sehingga kini.
Polis dalam kenyataan sebelum ini, berkata siasatan yang
dilakukan berkaitan kes orang hilang yang membabitkan mangsa dan dilanjutkan
mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu bunuh.
Kehilangan mangsa menjadi persoalan oleh ahli keluarganya
apabila kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan
sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, namun mangsa dilaporkan tiada di tempat
kejadian.
Berikutan itu, ahli keluarga mengesyaki Sabari dilarikan
individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang
dari akaun Tabung Haji milik mangsa ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua
hari selepas kehilangannya.
Pelbagai usaha mencari dilakukan oleh ahli keluarga namun
Sabari masih gagal dikesan.
Kredit: Harian Metro
0 Comments