SUNGAI BULOH: Tindakan syarikat rakaman mahu melancarkan
single Bertahan Demi Cinta hasil paduan suara, Nur Fazura dan bekas suami,
Fattah Amin dianggap tidak sensitif serta cuba menangguk di air keruh berikutan
pasangan berkenaan baru sahaja mengumumkan perceraian.
Baca juga: "Fattah bijak, kaum lelaki ambil pengajaran" - Shamsul Ghau Ghau
Baca juga: "Perpisahan
memang sakit, jika bahagia kecapilah sebaiknya nikmat itu - Didie Alias
Baca juga: Netizen panas, Sherry doakan Fattah Amin
Baca juga: (TERKINI) Emma Maembong sahkan sudah bercerai
Baca juga: "Woi dah la tu, diamlah" - Salina Saibi gesa Fazura henti aibkan Fatah
Pengurus Fazura, Iman Tang mendakwa, perkara itu tidak
sepatutnya terjadi kerana ia bakal memberi gambaran buruk terhadap Fazura dan
Fattah termasuk pihak pengurusan kerana seolah-olah mengambil kesempatan
terhadap kisah perceraian itu.
"Kalau tak silap, lagu duet ini dirakamkan sebelum drama
Hero Seorang Cinderella 2 ditayangkan. Saya sangka lagu ini tidak jadi
dilancarkan, tapi tiba-tiba keluar berita lagu ini akan dikeluarkan.
"Apa yang saya tahu perkara ini mungkin terjadi apabila
berita perceraian sudah kecoh. Bagi saya, ini bukanlah masa yang sesuai untuk
lagu dikeluarkan dengan tajuk lagu pula begitu.
"Saya sempat sembang dengan peguam, Fakhrul Azman Abu
Hassan dan dia pun mengatakan tidak sesuai sebab penghujungnya orang akan
menganggap ia sekadar gimik.
"Gaduh-gaduh dan menangis, rupa-rupanya mahu jual lagu
atau produk," katanya ditemui pada sesi latihan Konsert Datuk M N45IR
Cipta 2 di sebuah studio di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Tang turut memaklumkan Fazura tidak tahu
menahu mengenai cadangan untuk melancarkan single duet itu.
Malah, Tang mendakwa, Fazura tidak bersetuju cadangan lagu
duet diteruskan berikutan apa yang sedang dilaluinya itu.
"Saya ada bertanyakan perkara ini pada Fazura dan
abangnya, tapi mereka kata pihak label tidak ada maklumkan akan mengeluarkan
single duet itu.
Iman Tang, pengurus Fazura |
"Dia juga tidak bersetuju kerana lagu sudah lama
dirakam. Sudah tentu tiada siapa setuju.
"Saya tidak menguruskan kerjaya muzik Fazura kerana ia
kini diambil alih Universal Music Malaysia. Saya tidak tahu apa rancangan
mereka.
"Bagi syarikat rakaman mungkin lagu ini orang akan
dengar. Secara peribadi, saya rasa mereka seolah-olah menangguk di air keruh
sebab perkara itu bukan benda yang bagus.
"Kami tidak meminta, tapi orang Islam, hormatilah jika
seseorang sedang melalui masa yang sukar. Jangan ambil kesempatan, gunalah
otak," dakwanya.
Sementara itu, demi menjaga reputasi dan tidak mahu dianggap
bersekongkol mencipta gimik, Tang menegaskan, dia tidak akan membenarkan Fazura
atau nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin mempromosikan lagu berkenaan.
"Kalau Fazura promosi lagu saya akan marah sebab ia
tidak betul. Ini bukan bahan jenaka untuk ambil kesempatan. Saya juga tidak
tahu jika ada terikat kontrak.
"Bagi saya, tidak perlu pun, isu yang lebih penting
iaitu rumah tangga.
Kalau tidak ambil serius, ia akan mengajar generasi lain
bahawa isu cerai boleh dibuat main-main.
"Lakukan (cerai) kerana promosi, lepas itu rujuk balik.
Apa akan jadi dengan pendidikan agama, hancur," kata Tang lagi.
Terdahulu, sebuah syarikat rakaman Indonesia dilapor memuat
naik video di Instagram (IG) memaklumkan pasangan itu bakal melancarkan single
Bertahan Demi Cinta di semua platform penstriman digital, esok.
Kelmarin, Fattah melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim
Syarie Abdul Malik Soleh pada pukul 9.45 pagi di Mahkamah Rendah Syariah
Petaling di Subang Bestari selepas tujuh tahun hidup sebagai suami kepada
Fazura.
Fazura dan Fattah berkahwin pada 27 November 2017 dan
dikurniakan anak perempuan, Nur Fatima Aisya, 4.
Kredit: Berita Harian
0 Comments