Tam Spider tak puas hati, anaknya dibuli "senior" sekolah

Tam Spider tak puas hati, anaknya dibuli "senior" sekolah



Kuala Lumpur : Penyanyi kumpulan Spider, Tam, 51, mendedahkan anaknya lelakinya yang berusia 14 tahun menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama, di sini, dan kesal dengan pihak sekolah terbabit yang tidak peka dan tidak mengambil tindakan terhadap masalah buli di sekolah itu.


Baca juga: "Hati saya remuk, saya sudah cukup berjuang dia balas dengan curang dan abai nafkah" - Fazura

Baca juga: Jenama pasang badan Zul Arifin, paling menjadi tumpuan jam tangan Audemars Piguet Royal Oak

Baca juga: Hantaran terbaru Fazura di aplikasi X, bagi "hint" sebab rumahtangga musnah?

Baca juga: "Saya lebih suka Aliff tak hubungi saya, hubungan 12 tahun bukan mudah untuk move on" - Bella Astillah


Tam atau nama sebenarnya, Rustam Mustafah berkata, bukan saja anaknya tetapi beberapa pelajar lagi turut menjadi mangsa buli pelajar senior.

 

"Pada saya, kalau buli suruh masak mi segera, gosok baju dan tidak ada sebarang sentuhan, saya taklah anggap ia melampau walaupun masih lagi dikategorikan sebagai buli.

 

"Tapi saya dimaklumkan ada kawan-kawan anak saya dibuli hingga pengsan dan ada yang pekak telinga. Ini yang saya rasa membimbangkan," katanya.

 

Tam berkata, dia berasakan pihak sekolah terbabit seperti ingin 'menutup' atau 'melindungi' sesuatu pihak walaupun laporan terhadap pihak sekolah dan polis sudah dibuat.

 


"Apa yang saya kesalkan adalah pihak sekolah langsung tak peka terhadap hal ini. Ibu bapa rasa seperti, adakah pihak sekolah membela pelajar tingkatan lima? Adakah mereka 'menutup' sesiapa di dalam sekolah itu yang perlu mereka 'lindungi'? Ada anak emas atau sesiapa yang mereka 'payung'?

 

"Pihak sekolah sepatutnya menguatkan lagi kasih sayang dan bukannya membiarkan masalah buli berlaku. Yang kelakarnya pihak sekolah memaklumkan tidak ada CCTV (Kamera Litar Tertutup). Ia sesuatu yang boleh dipersoalkan.

 

"Bila tanya mana CCTV, katanya mereka dah patahkan. Kalau dah patahkan, pihak sekolah patut tahulah bahawa mereka (pembuli) ini bermasalah. Tak tahulah apa yang pihak sekolah fikir," katanya.

 

Menurut Tam, sebelum mendaftarkan anaknya ke sekolah itu tahun lalu, dia ada mendengar khabar angin mengenai masalah buli di situ. Namun, dia tidak menyangka khabar angin itu benar-benar berlaku.

 

"Sebelum ini kami ada mendengar khabar angin mengenai kewujudan geng buli di sekolah itu yang terdiri daripada senior.

 

"Saya mewakili sebab saya kenal kawan-kawan anak saya sebab sayang. Bila datang ziarah anak, seronok dapat jumpa mereka. Tapi, bila dapat tahu sisi buruk begini dan benda yang saya ingat tak ada, berlaku juga, maknanya apa pihak sekolah buat," katanya.

 

Tam berkata, dia juga baru mendapat tahu mengenai kes buli ini baru-baru ini dan rata-rata mangsa buli takut untuk memberitahu ibu bapa kerana menerima ugutan daripada pembuli.

 

"Anak saya dibuli sejak hujung tahun lalu. Kami ibu bapa dipanggil untuk buat laporan sebab dah membabitkan pihak berkuasa. Kami nak persoalkan mengenai tindakan pihak sekolah yang masih 'simpan' pembuli-pembuli ini walaupun benda ini dah berlarutan.

 

"Saya bersuara sebab ada yang trauma nak ke sekolah. Tapi, mereka takut nak beritahu ibu bapa sebab menerima ugutan daripada pembuli. Saya memang dah pesan kepada anak saya, kalau dibuli, lawan balik sebab kita anak jantan. Bila dia lawan balik, sekurang-kurangnya mereka tak berani kacau lebih-lebih.

 

"Tapi, kalau katakanlah di masa akan datang berlaku apa-apa situasi, anak saya pula hilang kawalan sebab zaman sekarang, kita tak tahu semua orang boleh ada masalah kesihatan mental. Trauma akan mengganggu," katanya.

 

Menurut Tam, dia akan meneruskan dengan tindakan sewajarnya sekiranya masih belum ada tindakan keras daripada pihak sekolah ke atas pembuli-pembuli itu.

 

"Perlu diambil tindakan tegas terhadap mereka. Tak ada lagi maaf-maaf, tapi buang saja. Kalau nak belajar seni mempertahan diri, pergi tempat lain. Jangan masuk ke sini sebab sini orang nak belajar, cari rezeki. Bukan semua orang senang belajar di situ.

 

"Kalau masalah mencuri, tak datang kelas, itu boleh dibetulkan. Ini masalah 'sentuh' dan pukul anak orang, ini dah lebih kepada nak jadi jenayah. Itu persoalannya.

 

"Kalau tak ada apa-apa tindakan, kami akan failkan apa yang patut dan terimalah apa-apa keputusan nanti," katanya.


Baca juga: Anak Khir Rahman turut dibuli di sekolah berasrama yang sama 


Kredit: Harian Metro




Post a Comment

0 Comments