Temui jodoh terlalu awal, ada yang kurang selesa Ina kahwin kali kedua

Temui jodoh terlalu awal, ada yang kurang selesa Ina kahwin kali kedua




KUALA LUMPUR: Penyanyi yang balu Allahyarham Suhaimi Saad, Ina Naim, 40, tetap mendoakan terbaik kepada sesiapa yang kurang selesa dengan keputusan berkahwin kali kedua, tidak lama lagi.

 

Ina atau nama sebenarnya, Nordiana Md Naim berkata, dia berterima kasih kepada semua yang mendoakan kebahagiaannya dan anak-anak kerana memahami apa yang dilakukan itu.

 

"Mana yang rasa tidak selesa (dengan keputusan perkahwinan), saya doakan semoga Allah bagi kefahaman yang baik. #Percaya pada qada dan qadar iaitu rukun iman yang keenam.

 

"Apapun, terima kasih juga pada semua yang mendoakan kebahagiaan saya dan anak-anak. Sebab, turut memahami saya. Semoga Allah membalas segala kebaikan untuk kalian semua," katanya kepada Harian Metro menerusi kiriman mesej di WhatsApp.

 

Terdahulu, Ina yang juga ibu tunggal empat anak ditanya mengenai komen segelintir netizen tumpang gembira dengan bakal berkahwin kali kedua, namun ada juga menyifatkan jodoh baharu terlalu awal ditemui.

 

Ina bakal naik pelamin pada 8 November ini, memilih calon pilihan dikenali Mohd K yang juga bekas tenaga pengajar di Giat Mara dan kini mengusahakan perniagaan serta berstatus duda kepada dua anak.

 

"Keputusan berkahwin sudah bincang dengan anak-anak, ibu bapa dan keluarga. Begitu juga, saya turut meminta pandangan daripada keluarga dan adik-beradik arwah Suhaimi.

 


"Mereka semua (anak-anak dan keluarga) menerima baik keputusan yang dibuat. Apatah lagi, bakal suami adalah peminat Allahyarham Suhaimi kerana mengidolakan keluarga kami dan cara arwah mengajar anak-anak," katanya.

 

Menurut Ina, dia mula mengenali calon suaminya berusia 41 tahun itu selepas Aidilfitri lalu apabila lelaki terbabit yang memulakan salam perkenalan menerusi kiriman mesej di WhatsApp.

 

Pada 12 Ogos 2007, Ina mendirikan rumah tangga bersama arwah Suhaimi. Namun, penyanyi nasjid itu meninggal dunia pada 15 November tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

 

Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, Ina dan arwah Suhaimi dikurniakan empat cahaya mata, Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.


Kredit: Berita Harian





Post a Comment

0 Comments