ALOR SETAR – “Tolonglah jangan herdik kerana saya sudah
menjalani hukuman, saya tidak lari dari penjara sebaliknya dibebaskan. Bantulah
saya untuk meneruskan sisa hidup ini dengan menjadi manusia berguna.”
Demikian permintaan bekas banduan, Khairul Anuar Zakaria, 64,
yang dibebaskan dari Penjara Pokok Sena pada 3 Oktober lalu setelah meringkuk
di sebalik tirai besi selama 23 tahun empat bulan atas kesalahan membunuh kerat
lapan.
Kejadian pembunuhan seorang lelaki itu berlaku di Taman Datuk
Kumbar, di sini pada 4 Jun 2001.
Khairul Anuar yang lebih dikenali sebagai Abah Hayat berkata,
dia bersyukur kerana menerima sokongan padu daripada isteri, anak-anak serta
ahli keluarga dan masyarakat, namun mengakui masih ada yang memberi kecaman
terhadapnya.
“Perkara itu (pembunuhan) memang berlaku dan pelaku itu
adalah saya. Saya sudah menjalani hukuman dan dibebaskan yang mana saya turut
diberi keampunan oleh Tuanku Sultan Kedah daripada banduan akhir kepada banduan
hayat.
“Saya seterusnya dikenakan hukuman penjara 35 tahun setelah
kerajaan memansuhkan hukuman penjara sepanjang hayat dan dibebaskan pada 3
Oktober lepas. Tolonglah jangan herdik dan kata saya patut mati,” katanya
ketika ditemui di rumahnya di Bukit Pinang, Kepala Batas, di sini hari ini.
Katanya, dia mahu meneruskan sisa hidupnya dengan berbakti
kepada orang ramai termasuk membantu bekas banduan lain dengan cara memberikan
motivasi.
“Berilah ruang kepada saya untuk bimbing anak bangsa dalam
saya meniti usia senja ini. Alhamdulillah, masa di penjara ramai banduan yang
ucap terima kasih kerana ajar mereka solat, malah mereka peluk saya ketika nak
bebas,” ujarnya.
Ceritanya lagi, dia tidak berhasrat untuk menceritakan semula
kejadian pembunuhan berkenaan bagi menjaga hati semua pihak termasuk keluarga,
namun hanya boleh mengatakan ia berlaku disebabkan maruah.
“Memadailah kalau saya katakan pembunuhan itu berlaku di
dalam rumah saya, dalam rumah keluarga saya sendiri dan di dalam bilik tidur
saya sendiri.
“Ada yang kata (buat andaian) ia sebab hutang, along tetapi
bukan. Hakikatnya ia adalah masalah maruah, jadi tidak perlulah saya bercerita
panjang lebar. Apabila Allah dah tutup benda itu, saya tidak perlu buka
kembali,” jelasnya.
Sementara itu, dia menyifatkan pemenjaraan selama 23 tahun
empat bulan sebagai tempoh paling berfaedah dalam hidupnya.
Kredit: KOSMO! ONLINE
0 Comments