JAKARTA – Sebuah video
tular di media sosial Indonesia memaparkan kelibat didakwa pocong melompat di
tepi jalan pada waktu malam, lapor laman berita RMOL Jateng semalam.
Kejadian berlaku di Jalan KUA Lasem, Rembang, dalam wilayah
Jawa Tengah.
Berdasarkan video yang dirakam oleh penumpang sebuah kereta
dikenali sebagai Andi, susuk berbalut kain putih dilihat berada di tepi jalan.
Lembaga itu dirakam sekitar pukul 9.30 malam (waktu
tempatan), Isnin minggu lalu.
Disebabkan rasa ingin tahu, Andi dan rakannya berpatah balik
ke arah pocong tersebut selepas berasa curiga melihat gerak badannya.
“Namun, setelah dihampiri, pocong itu berlari dengan laju
sampaikan kainnya (kain putih) tersangkut. Wajahnya tidak kelihatan tetapi
lariannya amat laju sampaikan hampir jatuh,” kata Andi.
Tambahnya, dia percaya bahawa pocong itu sebenarnya manusia
yang menyamar untuk merompak atau menakut-nakutkan orang ramai.
“Lokasi jalan di KUA Lasem. Berhati-hati kepada yang mahu
melalui jalan itu,” ujarnya.
Setelah video itu menjadi tular, Ketua Polis Lasem, Asisten
Komisioner Polis Arif Kristiawan berkata, pihaknya sudah pergi ke lokasi
kejadian untuk melakukan siasatan serta mengumpul keterangan daripada beberapa
saksi.
“Kami mahu memastikan adakah benar ia pocong atau sekadar gurauan pihak tertentu. Kami akan menyiasat lebih lanjut,” ujarnya.
Kredit: Kosmo
0 Comments