NEW SOUTH WALES: Seorang wanita Australia mengharungi detik
cemas tersepit celah dua batu besar dalam kedudukan terbalik apabila
tergelincir ketika cuba mengambil telefon bimbitnya yang tercicir.
Selama tujuh jam, Matilda Campbell, tersepit di celah batu
dalam kedudukan terbalik sebelum dibawa keluar oleh pasukan penyelamat.
Campbell sedang berjalan di kawasan Hunter Valley, New South
Wales (NSW) pada awal Oktober apabila dia jatuh di celah batu sedalam kira-kira
tiga meter.
Pasukan penyelamat tiba kira-kira sejam selepas dimaklumkan
tetapi terpaksa mengambil beberapa jam lagi untuk membebaskannya.
"Sepanjang 10 tahun saya sebagai paramedik penyelamat,
saya tidak pernah menghadapi tugas seperti ini. Ia mencabar tetapi amat
memuaskan," kata Peter Watts, seorang paramedik daripada perkhidmatan
Ambulans NSW, di laman Facebook perkhidmatan itu.
Rakan-rakan Campbell telah cuba membebaskannya, tetapi dia
tersekat begitu dalam di celah batu itu sehingga mereka terpaksa meminta
bantuan.
Hanya kakinya kelihatan dalam salah satu gambar yang dikongsi
oleh perkhidmatan ambulans di Facebook pada 21 Oktober.
Pasukan kecemasan terpaksa menjalankan usaha rumit untuk
menstabilkan kawasan tersebut dengan bingkai kayu keras, ketika mereka cuba
membuat ruang yang cukup besar untuk membebaskannya.
Walaupun mereka berjaya mengalihkan batu seberat 500 kilogram
(kg), mereka masih perlu mencari jalan untuk mengeluarkan wanita itu dari
selekoh berbentuk 'S' di mana dia tersekat.
Watts kemudian memberitahu ABC Australia bahawa Campbell amat
tabah sepanjang masa mereka cuba membebaskannya.
"Namun, kami semua tertanya-tanya, bagaimana dia boleh
sampai di sana, dan bagaimana kami akan mengeluarkannya?" katanya.
Tujuh jam selepas tersekat, Campbell akhirnya dapat ditarik
keluar dengan hanya calar dan lebam kecil, menurut Ambulans NSW.
"Terima kasih kepada pasukan yang menyelamatkan saya. Anda semua adalah penyelamat sebenar," tulisnya dalam mesej dalam talian, namun, telefonnya tidak berjaya diselamatkan.
Kredit: AGENSI Berita Harian
0 Comments