PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar
Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad diperintahkan membela
diri terhadap tiga tuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM2.8 juta
berhubung pelaburan RM150 juta FELCRA dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Ahmad
Zaidi Ibrahim, bersidang bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk
Noorin Badaruddin sebulat suara membuat perintah itu selepas membenarkan rayuan
pendakwaan.
Pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 September
tahun lalu, yang melepas dan membebaskan pasangan itu selepas membenarkan
permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September
2022 yang memerintahkan mereka membela diri.
Panel kemudian memerintahkan kes berkenaan dikembalikan ke
Mahkamah Sesyen bagi Bung Moktar dan Zizie Zizie Izette membela diri terhadap
tiga tuduhan terbabit.
Ia kemudian menetapkan sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen
pada 5 Disember ini.
Mohamed Zaini yang membacakan keputusan panel, berkata
keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette
membela diri terhadap pertuduhan berkenaan, tidak boleh dirayu kerana ia tidak
membentuk hak muktamad mereka.
Hakim itu berkata, tindakan mengemukakan semakan terhadap
keputusan itu pada peringkat ini, pada dasarnya adalah sama seperti
mengemukakan rayuan.
"(Oleh itu) proses perbicaraan yang sewajarnya hendaklah
diteruskan dengan membenarkan kedua-dua responden (Bung Moktar dan Zizie
Izette) untuk mengemukakan pembelaan mereka.
"Keputusan sama ada untuk membebaskan atau memanggil
mereka membela diri dibuat selepas hakim bicara membuat penilaian maksimum
(terhadap keterangan yang diberikan di mahkamah).
"Apabila mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan
telah menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh, ia akan memanggil tertuduh
untuk membela diri kerana mahkamah tidak mempunyai pilihan lain," katanya.
Mohamed Zaini berkata, permohonan responden sebenarnya adalah
rayuan interlokutori yang menyamai permohonan semakan terhadap keputusan
mahkamah yang mendapati timbulnya kes prima facie terhadap mereka.
Beliau berkata, keputusan mahkamah itu hanya boleh dicabar
ketika rayuan selepas perbicaraan selesai, khususnya keputusan di akhir kes
pembelaan.
Katanya, penemuan Mahkamah Tinggi mengenai keputusan hakim
Mahkamah Sesyen untuk memanggil responden membela, diri adalah terlalu awal.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan
Pendakwa Raya Law Chin How manakala peguam M Athimulan dan Datuk K Kumaraendran
bertindak bagi pihak responden.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan
Eksekutif FELCRA Berhad, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu
suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual
Berhad, Madhi Abdul Hamid melaluiZizie Izette.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi
mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat
pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad,
Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini,
antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang,12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah
memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500
daripada individu sama, melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund
(PITGF) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.
Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk
dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen
pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public
Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi
tujuan yang sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada
jam 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.
Dengan keputusan mahkamah hari ini, Bung Moktar dan Zizie
Izette sekali lagi perlu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menjawab
pertuduhan terhadap mereka.
Ditanya selepas ini mereka terpaksa turun naik ke mahkamah
sekali lagi, Bung Moktar sambil tersenyum berkata, mereka sudah bersedia dan
akan menghadapinya.
"Kalau tuntutan (perintah mahkamah) kena lah,"
katanya ringkas ketika ditemui di pekarangan mahkamah sebaik selesai mendengar
keputusan itu.
0 Comments