Pil Kuda iaitu dadah terlarang yang mudah didapati di negeri Kelantan dijual dengan harga kurang RM10. Dadah murah ini telah menjadikan anak muda yang masih bersekolah rosak dan mula terjebak dalam kegiatan penagihan dadah.
Menurut Kosmo, Ketua Polis Kelantan iaitu Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, harga
jualan sebiji pil kuda di Kelantan lebih murah daripada negeri-negeri Pantai
Timur yang lain iaitu Terengganu dan Pahang.
Menurutnya, hasil maklumat yang diperoleh, pil kuda atau pil
yaba yang bermaksud ‘pil gila’ dalam bahasa Thailand merupakan dadah yang
paling popular di sini berbanding ganja, heroin dan syabu.
“Harga pil kuda di sini murah kerana kos pengangkutan
termasuk halangan (selepas diseludup dari Thailand) jauh lebih rendah. Jika
dibawa keluar dari Kelantan, risiko untuk ditangkap tinggi.
“Jadi, sebiji pil kuda di Kelantan boleh dijual pada harga
bawah RM10 berbanding di negeri-negeri lain iaitu RM15. Harga tersebut
menyebabkan ramai pelajar sekolah mula terjebak dengan dadah,” katanya pada
sidang akhbar selepas Sesi Perjumpaan dan Suai Kenal Ketua Polis Kelantan
Bersama Rakan Media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini
semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, beliau melihat isu
melibatkan dadah di Kelantan berada pada tahap yang serius.
Menurutnya, perkara itu dibuktikan apabila Jabatan Siasatan
Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Kelantan berjaya membongkar kegiatan sindiket dadah
jenis pil kuda dan heroin terbesar di negara ini selepas merampas kedua-dua
jenis dadah tersebut yang bernilai RM49.17 juta di Jalan Pasir Mas-Salor di
sini pada bulan lalu.
“Kes-kes dadah juga menyebabkan masalah sosial di Kelantan serius sehingga di peringkat pelajar sekolah sudah mula terlibat dengan dadah terutamanya pil kuda,” ujarnya.
0 Comments