KUALA LUMPUR: Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme,
Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin sudah menghantar representasi kepada
Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menyemak dan menarik balik tuduhan
mengabaikan anak.
Menurut peguam bela pasangan itu, Fahmi Abd Moin ketika
dihubungi pemberita, pihaknya sudah menghantar representasi berkenaan pada 19
November lalu.
Melalui prosiding di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum
ini, Fahmi yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29,
memberitahu mahkamah, pihaknya akan menghantar representasi bagi menyemak
tuduhan ke atas anak guamnya.
Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh sehubungan itu
menetapkan 6 Disember ini bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung
representasi berkenaan.
Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak
bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama, sebagai orang yang mempunyai
pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, sudah
mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU Damansara
Damai, di sini, pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya
pada jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak
2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34
Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi
RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika
sabit kesalahan.
Ia berserta tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan
dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas kesalahan
di bawah subseksyen itu menyempurnakan bon dengan penjamin berkelakuan baik
selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh
mahkamah serta melaksanakan khidmat masyarakat.
Kredit: Harian Metro
0 Comments