Bagi generasi yang membesar pada era 90-an,
permainan Jutaria adalah antara aktiviti popular untuk mengisi masa lapang,
Terutamanya ketika tiada Facebook, Twitter, atau YouTube pada
zaman itu.
Namun, tahukah anda bahawa Jutaria pernah diadaptasikan ke dalam
bentuk rancangan televisyen?
Versi televisyen ini dikenali sebagai More Jutaria, di mana
wang hadiahnya mencecah sehingga RM1,000,000. Apa yang lebih menarik, hanya
seorang individu Ahmad Samerin yang berjaya memenangi kuiz ini.
More Jutaria ialah rancangan televisyen yang dikeluarkan oleh RTM1
pada tahun 1991 dan merupakan rancangan kuiz paling mahal di Malaysia pada masa
itu.
Ditaja oleh jenama rokok More milik R.J. Reynolds, rancangan ini
menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM1,000,000 dan sebuah kereta Ferrari.
Pada 9 September 1991, Ahmad Samerin Dzulkifli, seorang pemilik
kedai basikal di Pusat Bandar Jengka yang berusia 23 tahun ketika itu, mencipta
sejarah sebagai pemenang tunggal More Jutaria dengan memenangi hadiah wang
sebanyak RM1,000,000.
Lebih menarik lagi, namanya, SAMERIN, digunakan untuk melengkapkan
petak kosong pada pusingan bonus yang berkaitan dengan ekonomi.
Beliau menolak kereta mewah Ferrari yang ditawarkan kerana tidak tahu memandu dan memilih memikirkan kehidupan di kampungnya yang dianggap tidak sesuai untuk memandu kereta tersebut.
Samerin menjadi pemenang pertama dan terakhir dalam kuiz More
Jutaria yang dikendalikan oleh juruacara Ahmad Tarmimi Serigar. Selepas
kemenangannya itu, dia turut memenangi wang tunai lebih RM6,000 melalui acara
siri keenam dan ke-14 serta mendapat sebuah bot Bayliner, yang kemudian dijual
dengan harga RM25,000.
Namun, Ahmad Samerin kini lebih suka hidup rendah tanpa tumpuan
masyarakat. Dalam wawancara pada 22 November 2016, beliau menyatakan bahawa
sejak kemenangannya, ramai yang ingin mengetahui kisah hidupnya, tetapi beliau
memilih untuk menjaga privasi atas pelbagai sebab.
Baginya, kebebasan sebenar adalah apabila orang ramai sudah tidak
mengenali Ahmad Samerin, individu yang pernah mencipta sensasi sebagai jutawan
dalam sekelip mata.
Kedai basikal yang pernah diusahakan kini diserahkan kepada
adiknya, dan dia kini menjalani hidup dengan menguruskan kedai elektrik di
Bandar Baru Jengka.
Berkenaan dengan wang kemenangan, laporan tidak menyatakan jenis pelaburan yang dilakukan oleh Samerin, walaupun pada masa lalu beliau menyatakan niat untuk bersedekah, melabur dalam Amanah Saham Bumiputera, dan membeli Sijil Simpanan Premium.
Kredit: Sham
0 Comments