PETALING JAYA – Tidak makan pujuk, pelakon Diana Danielle
bertegas dengan pendirian untuk meneruskan perceraian dengan suaminya, Farid
Kamil selepas gagal memulihkan hubungan selama setahun.
Diana atau nama lengkapnya Diana Danielle Danny Beeson, 34,
menyifatkan Farid sebagai lelaki kejam sekiranya kemelut perceraian dibawa ke
proses hakam.
“Jika dia mahu ikat sehingga saya terseksa sampai ke proses
hakam, dia lelaki kejam.
“Saya sudah menghabiskan masa selama setahun cuba memperbaiki
dan pulihkan keadaan.
“Sudah banyak kali kami berdepan dengan ambang keretakan,”
katanya dalam InstaStory.
Dalam masa sama, pelakon filem Gol & Gincu 2 itu enggan
dipujuk kerana mahu ‘bebas’ segera daripada suaminya.
“Saya tidak mahu dipujuk dan tak mahu teruskan perkahwinan
ini. Niat saya cukup jelas.
“Tiada lagi yang saya mahukan selain tidak berada di bawah
tanggungjawab dia,” tegasnya.
Selain itu, Diana turut bertindak ekstrem dengan menunjukkan surat cinta Farid yang disimpan sejak 12 tahun lepas dibakar sambil melabel sebagai ‘surat penipuan’.
Sebelum ini, ibu kepada dua orang anak itu mengejutkan ramai
apabila mengumumkan dia nekad untuk berpisah dan bakal memfailkan perceraian
terhadap Farid buat kali kedua.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan
cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi
Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun, kembali rujuk sebulan kemudian.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan
dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini
berusia 9 tahun.
Kredit: KOSMO! ONLINE
0 Comments