Kementerian Pertahanan ambil langkah cegah buli di UPNM

Kementerian Pertahanan ambil langkah cegah buli di UPNM


Susulan kes buli yang menggemparkan negara dengan kematian Zulfarhan ditekap seterika sebanyak 90 tekapan di UPNM, Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang melaksanakan beberapa penambahbaikan di Akademi Latihan Ketenteraan-Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK-UPNM).

 

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menambah perjawatan pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP).

 

Menurutnya, jumlah pegawai ditambah kepada 48 orang berbanding 31 orang manakala bagi LLP ditambah menjadi 182 orang berbanding 124 orang.

 

“Daripada jumlah keseluruhan tersebut, 24 orang pegawai dan 48 orang LLP telah dilantik sebagai jurulatih.

 

“Pelantikan jurulatih ini bagi meringankan beban seorang jurulatih untuk memantau 20 orang pegawai kadet dengan nisbah 1:20,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai usaha yang dilakukan Mindef bagi memastikan kegiatan buli di UPNM dinoktahkan.

 

Mohamed Khaled berkata, penambahan jurulatih itu membolehkan pecahan untuk kawalan pentadbiran pegawai kadet dibuat dalam kumpulan yang lebih kecil.

 

“Daripada empat batalion kepada lapan kompeni, yang mana satu batalion dengan jumlah maksimum 320 pegawai kadet kepada satu kompeni dengan hanya 150 pegawai kadet bagi tujuan pemantauan yang lebih rapi.

 

“Tempoh perkhidmatan pegawai dan LLP yang ditempatkan di ALK-UPNM juga dihadkan kepada antara tiga hingga empat tahun untuk menentukan prestasi sebagai jurulatih sentiasa di tahap tertinggi,” ujarnya.

 

Katanya, semua jurulatih yang ditugaskan ke ALK-UPNM perlu menghadiri dan lulus Lembaga Pemilihan dan Penempatan Jurulatih (LPPJ) serta bebas daripada sebarang masalah disiplin.

 

“Pihak ATM juga telah menetapkan seorang jurulatih bertugas untuk setiap kompeni bagi membolehkan pemantauan pegawai kadet yang lebih teliti setiap hari.

 

“Jurulatih bertugas telah diarahkan untuk melakukan rondaan ke penginapan pegawai kadet selepas jam 11:59 malam setiap hari,” jelasnya.

 

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, Mindef juga sedang merancang untuk menambah jumlah televisyen litar tertutup (CCTC) mengikut keperluan dan kesesuaian.

 

“Bermula Febuari tahun lalu, sebanyak tujuh CCTV telah dipasang di beberapa aras blok penginapan bagi mengesan aktiviti yang mencurigakan,” jelasnya.

 

Mengulas lanjut, kata Mohamed Khaled, pengasingan pegawai kadet tahun satu di Bukit Putera telah dilaksanakan bermula April lalu yang diletakkan di bawah kelolaan jurulatih sepenuhnya.

 

Baru-baru ini kes buli berlaku lagi, seorang senior telah menekap seterika ke badan seorang junior di UPNM


Tambahnya, pegawai kadet juga akan menjalani pemeriksaan fizikal berkala bagi mengesan sebarang aktiviti penderaan yang boleh mendatangkan kecederaan.

 

“Turut diadakan, sesi pertemuan di antara pegawai kadet dan pihak tertinggi ALK-UPNM secara eksklusif untuk memberi ruang bebas tanpa perasaan takut bagi mendapatkan maklumat salah laku dalam kalangan pegawai kadet,” katanya.

 

keenam-enam bekas pelajar UPNM telah dijatuhi hukuman mati kerana bersubahat membunuh Arwah Zulfarhan dengan tekapan seterika di seluruh badan

Kredit: KOSMO! ONLINE


Post a Comment

0 Comments