Kenali Tengku Eddie Akasya, Anakanda Tengku Muda Pahang

Kenali Tengku Eddie Akasya, Anakanda Tengku Muda Pahang

  


Kerabat diraja Pahang Yang Mulia Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman mengaku tidak bersalah atas dakwaan mencederakan seorang lelaki, Alias Awang, pada bulan Jun lalu.


Beliau yang dituduh di Mahkamah Majistret Kuantan bersama empat lagi individu termasuk seorang anggota polis, memohon untuk dibicarakan. 


Berdasarkan kertas pertuduhan, Tengku Eddie yang baru berusia 20 tahun bersama-sama menyerang dan mencederakan paha Alias menggunakan pisau di kawasan lot tanah bangsal kuda, Jalan Teluk Sisek di Kuantan pada 6 Jun.


Alias mendakwa seorang rakan kerabat itu menikam pahanya manakala Tengku Eddy pula menembak ke arah kakinya tetapi tersasar.


Serangan itu dikatakan berkaitan pertikaian isu tanah di Rompin, yang dia terlibat dalam pembinaan jalan di situ.


Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, didenda, disebat atau mana-mana daripada dua hukuman itu.


Kes itu turut mendapat perhatian Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang menggesa polis bertindak tegas kerana tiada sesiapa yang lebih tinggi dari undang-undang, termasuk kerabat diraja.


Latar Belakang Tengku Eddie 

Dilahirkan dalam keluarga diraja, Tengku Eddie merupakan anak kepada Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan isteri pertama beliau, YABhg. Che Puan Muda Che Puan Julita Aisyah binti Abdul Latiff.

 

Tengku Abdul Rahman pula merupakan adik kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan seorang yang berjiwa sukan, berjiwa rakyat. Beliau telah memegang tampuk pimpinan Sri Pahang FC sejak lebih dua dekad.


Manakala bapa saudaranya termasuklah Presiden kelab futsal Pahang Rangers, YAM Tengku Fahad Mua’adzam Shah.

 

 


Tengku Eddie memiliki seorang kekanda, Yang Mulia Tengku Ameera Asya serta dua orang adinda, iaitu Yang Mulia Tengku Ahmad Firhan Shah dan Yang Mulia Tengku Armaan Alam Shah.


Terlibat dalam Muay Thai

Tengku Eddie bukan sahaja dikenali sebagai anggota keluarga diraja, tetapi sepertimana kerabat Pahang lain, turut aktif terlibat di dalam sukan menerusi penglibatannya di dalam Muay Thai. 


Beliau mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan ini yang memerlukan disiplin tinggi serta kekuatan fizikal, sekaligus memberi gambaran dirinya adalah seorang yang cukup kental dan berani. 


Pada tahun 2020, Tengku Eddie pernah menyertai Kejohanan TDH Muay Thai Superfight, yang menyaksikan 32 petinju bertanding. 


Masih di dalam jagaan Ibu Bapa

Sementara itu, dalam prosiding pada 7 November lepas, pihak pendakwaan memohon jaminan RM10,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh.


Pihak pendakwaan juga mencadangkan syarat tambahan supaya kesemua mereka melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak menggangu mangsa sehingga kes selesai.


Bagaimanapun, peguam bela Y Sheelan memohon minimum dalam lingkungan RM5,000 terhadap Tengku Eddie Akasya atas alasan masih ditanggung ibu bapa. 


Majistret kemudian menetapkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan membenarkan semua syarat tambahan dicadangkan pendakwaan.


11 Disember depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

 


Post a Comment

0 Comments