KOTA BHARU – Seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan
bersama lima individu yang ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah
hotel di Golok, Thailand kelmarin disahkan positif dadah.
Menurut sumber, sehubungan itu, keenam-enam suspek berusia
antara 25 hingga 34 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Narathiwat untuk
prosiding reman esok.
“Kesemua suspek dibawa dari lokap Balai Sungai Polis Golok ke
Mahkamah Narathiwat kira-kira pukul 10 pagi waktu Thailand.
“Mereka sebelum ini ditempatkan di lokap balai polis
berkenaan untuk tempoh 48 jam sebelum dibawa ke Mahkamah Narathiwat untuk
prosiding reman esok,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang penyanyi wanita
tersohor Kelantan antara enam individu yang ditahan oleh pihak polis Thailand
bersama ribuan biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok,
Narathiwat kelmarin.
Tiga lelaki dan tiga wanita termasuk penyanyi terbabit
ditangkap polis Thailand kira-kira pukul 5 pagi dalam satu serbuan ketika
mereka berehat di sebuah bilik hotel selepas berhibur di pusat hiburan yang
terletak bawah hotel tersebut.
Mereka masuk ke negara jiran itu untuk berhibur sempena cuti
perayaan Deepavali.
Menurut sumber, dua lagi suspek yang sebelum itu berada di
dalam bilik itu sempat meloloskan diri.
“Pemeriksaan di dalam bilik itu kemudian menjumpai sebanyak
6,000 biji pil kuda.
“Siasatan mendapati, salah seorang suspek wanita merupakan
seorang penyanyi terkenal dari Kelantan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sumber itu memberitahu, kesemua suspek yang ditahan tidak
membuat sebarang pengakuan mengenai pemilikan dadah tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat
mengesahkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi wanita tersohor dari
Kelantan ditahan di Golok, Thailand.
Menurutnya, penahanan kesemua suspek itu bagi membantu siasatan pihak polis Thailand berhubung kes dadah.
Kredit: KOSMO! ONLINE
0 Comments