Menerusi laporan Berita Harian, cucunya yang bernama Jasmine
Hawa Abdul Nur, 18, dan Roselyn Aisyah Abdul Nur, 16, sudah tiga tahun tinggal
dengan nenek mereka yang berbeza agama selepas kehilangan ibu pada 2021 akibat
Covid-19.
Perkara itu tidak dapat memisahkan hubungan darah antara V
Chandra yang beragama Hindu dengan dua cucunya dan kasih sayang terhadap mereka
tidak berbelah bahagi.
"Pada awal cucu tinggal dengan saya, ramai memandang
serong dan mempertikaikan kemampuan saya menjaga cucu kerana perbezaan agama,
malah cucu saya turut menerima kesannya.
"Ketika itu mereka baru sahaja kehilangan ibu dan
terpaksa berhadapan dengan orang sekeliling terutama rakan di sekolah mengenai
situasi kami," katanya.
Tititkberatkan bab makanan halal, tegur jangan tinggal solat
Ditanya mengenai dari segi penyediaan makanan, Chandra
berkata dia faham mengenai amalan dan ibadah dalam Islam dan menitikberatkan
perkara itu terutama mengenai solat dan aspek makanan halal.
"Mereka buat amalan dan ibadah mereka, saya selalu
ingatkan serta tegur supaya bersolat. Mereka dengan amalan mereka, saya dengan
kepercayaan dan tidak ada halangan antara satu sama lain.
"Dari segi pemakanan pula, saya rasa mereka tiada
masalah kerana saya seorang 'vegetarian'. Malah saya pula menyediakan makanan
seperti ayam dan daging untuk cucu.
"Jika beli di kedai, saya pastikan kedai berkenaan halal
atau restoran Muslim. Malah mereka sendiri sering bertanya sama ada saya beli
di kedai halal atau tidak," katanya.
Bapa 'hilang' begitu sahaja, besarkan cucu dengan penuh kasih
sayang
Chandra juga menceritakan kisah bagaimana dua cucunya itu
tinggal bersamanya. Menurutnya, anak perempuannya yang memeluk Islam meninggal
dunia pada Ogos 2021.
"Bapa mereka juga tidak dapat dikesan dan ketika mereka
hilang tempat bergantung. Sebelum itu memang hubungan kami baik dan mereka
sering berkunjung terutama pada sambutan perayaan," katanya.
Jelasnya Jasmine Hawa akan menyambung pelajaran di Kolej
Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bulan
depan, manakala Roselyn Aisyah berada di Tingkatan Empat.
"Saya buktikan mampu besarkan mereka walau berbeza
agama. Saya sayangkan mereka tanpa ada sebarang perbezaan dan halangan,"
katanya.
Sementara itu, Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli
Muhamed, berkata pihaknya sudah berbincang dengan pihak Baitulmal dan Jasmine
Hawa layak menerima bantuan RM1,500 bagi satu semester.
"Dia juga akan mendapat bantuan komputer riba selain itu
pihak MAIWP juga memaklumkan Jasmine layak menerima bantuan duit bulanan.
"Memang dari dahulu kami memantau dan membantu keluarga
ini memandangkan perbezaan agama antara cucu dan nenek.
"Sudah tiga tahun berlalu dan saya rasa cucunya berjaya
dalam pelajaran, kami anggap Chandra berjaya menolak persepsi negatif orang
ramai," katanya.
Kredit: Seismik
0 Comments