"Saya lihat tayar hadapan serta belakang sebelah kanan kereta Ativa menggilis di bahagian antara perut dan dada Zaharif" - Saksi

"Saya lihat tayar hadapan serta belakang sebelah kanan kereta Ativa menggilis di bahagian antara perut dan dada Zaharif" - Saksi


Ipoh: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini, bahawa Perodua Ativa yang dipandu pegawai kanan polis melanggar motosikal ditunggang pelajar sekolah dari arah belakang sebelum menggilis badan mangsa, Disember tahun lalu.

 

Saksi pendakwaan ke-10 iaitu seorang kanak-kanak lelaki berkata, dia melihat tayar kanan hadapan dan belakang Ativa menggilis bahagian badan antara perut dan dada Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.

 

Dia berkata, ketika kejadian itu, dia berada di bahu jalan tidak jauh dari lokasi kejadian bersama empat rakan lain untuk pulang bersama selepas waktu sekolah.

 

"Saya melihat seorang senior sekolah saya yang dikenali sebagai Zaharif sedang rem motosikalnya jenama Yamaha LC beberapa kali. Apabila Zaharif rem motosikalnya, saya dengar bunyi ekzos yang agak kuat. Saya tidak tahu kenapa atau apa tujuan dia rem motosikal.

 

"Tiba-tiba saya nampak kereta Ativa berhenti sebelah motosikal Zaharif. Semasa kereta Ativa berhenti, tidak lama selepas itu saya dengar motosikal Zaharif bergerak meninggalkan kereta Ativa itu.

 


"Tumpuan saya kembali kepada Zaharif selepas rakan-rakan saya melihat ke arah kawasan masjid (Masjid Muhammad Al-Fateh). Semasa itu saya nampak kereta Ativa mengekori motosikal Zaharif dari belakang," katanya ketika membacakan pernyataan bertulis di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.

 

Saksi itu berkata, dia kemudiannya melihat motosikal Zaharif dan kereta Ativa bergerak melepasi bonggol jalan yang terletak di kawasan masjid dalam keadaan kedua-dua kenderaan itu memecut laju.

 

Menurutnya, apabila sampai sebelum kawasan persimpangan Jalan Taman Jati 1 - Jalan Pekeliling Meru Indah, Zaharif memperlahankan motosikalnya dan kelihatan lampu brek belakang motosikal menyala.

 

"Saya nampak kereta Ativa melanggar Zaharif daripada arah belakang. Kereta Ativa tidak berhenti sebelum perlanggaran.

 

"Zaharif tercampak ke belakang dan terjatuh ke atas jalan. Saya lihat tayar hadapan serta belakang sebelah kanan kereta Ativa menggilis di bahagian antara perut dan dada Zaharif.

 

"Kedudukan Zaharif semasa digilis adalah bahagian kepala berada di bawah kereta. Saya juga melihat kereta terbabit terus berhenti di bahagian bahu jalan berhadapan sekolah," katanya.

 

Saksi itu berkata, selepas melihat kejadian itu, dia bersama rakan terus pergi ke arah mangsa untuk memberi bantuan.

 

Menurutnya, seorang lelaki turun dari Perodua Ativa dan menyuruh mereka mengangkat Zaharif untuk ke balai dalam nada marah, namun saksi kanak-kanak itu tidak bersetuju kerana risaukan keselamatan organ dalam mangsa.

 


"Selepas itu saya mengutip barang-barang sekolah Zaharif seperti buku dan topi keledar untuk dibawa ke tepi. Pada masa itu saya tak perasan Zaharif diangkat.

 

"Selepas mengutip dan bawa barangan Zaharif ke tepi, saya telah melihat Zaharif dalam keadaan separuh sedar dan tidak bermaya dibawa ke tepi oleh beberapa orang yang saya tidak pasti siapa kerana ramai orang di sana," katanya.

 

Menurutnya, dia melihat kereta Ativa itu bergerak ke arah berdekatan dengan Zaharif dan lelaki itu membuka pintu belakang keretanya untuk membawa Zaharif pergi ke balai, namun orang yang berada di situ menghalang kerana risau lelaki itu mengatakan mahu membawa mangsa ke balai dan bukannya hospital.

 

"Selepas itu, lelaki itu menutup pintu keretanya dan kembali melihat keadaan Zaharif sehinggalah kakak dan bapa Zaharif tiba di lokasi, lelaki itu kemudiannya masuk ke dalam kereta dan beredar," katanya.

 


Semasa pemeriksaan utama dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya Afzainizam Abdul Aziz, saksi kanak-kanak itu berkata, ketika Zaharif memperlahankan motosikalnya sebelum simpang, mangsa masih boleh mengawal motosikal.

 

Terdahulu pada pagi tadi, saksi pendakwaan kesembilan iaitu Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ridza'uddin Mohd Radzi berkata, terdapat dua bonggol dan empat papan tanda peringatan had laju berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dan Masjid Muhammad Al-Fateh.

 

"Laluan di kawasan perumahan memang ditetapkan 40 kilometer per jam (km/j), manakala laluan di kawasan berisiko tinggi atau di bonggol, had laju direndahkan kepada 30km/j.

 

"Kawasan berisiko merujuk kawasan kerap berlaku kemalangan atau ada pejalan kaki seperti rumah ibadat, sekolah dan taman rekreasi.

 

"Ketinggian bonggol di lokasi adalah mengikut piawaian iaitu 150 milimeter bagi mengurangkan kelajuan kenderaan di kawasan berisiko tinggi," katanya.

 

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.

 

Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

 

Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan turut dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili peguam Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.


Sedekahkan Al - Fatihah kepada Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie




Kredit: Harian Metro


Post a Comment

0 Comments