Kuala Lumpur: "Saya terpaksa letak anak dalam sangkar
kerana perlu bekerja."
Demikian rayuan seorang ibu yang dijatuhi hukuman penjara 14
hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku
bersalah melakukan penganiayaan terhadap anak lelaki kandungnya, Februari lalu.
Wanita berusia 20 tahun turut diperintahkan menjalani khidmat
masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan sebaik selesai menjalani
hukuman bermula hari ini.
Selain itu, Hakim Norina Zainal Abidin mengarahkan ibu muda
itu dikenakan bon jaminan berkelakuan baik untuk tempoh lima tahun dengan
RM10,000 tanpa cagaran.
Malah, mahkamah sama juga turut mengarahkan dua lagi rakan
ibu mangsa iaitu Adibah Mohd Zaini, 35, dan Nor Azlin Fatin Najihah Lokman, 25,
dijatuhi hukuman sama selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka bersama-sama
melakukan penganiayaan kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun
enam bulan di mana perbuatan itu mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan 1/109F,
Taman Danau Desa, di sini pada jam 1.40 tengah hari hingga 1.45 tengah hari, 23
Februari lalu.
Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta
Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan
boleh didenda maksimum RM50,000 atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi
20 tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, sebelum Norina menjatuhkan hukuman, ketiga-ketiga
tertuduh merayu supaya hanya hukuman denda kerana masing-masing sudah insaf dan
mengakui kesalahan dilakukan.
Ibu mangsa dalam rayuannya meminta hukuman ringan atas alasan
sudah menyesal dengan perbuatannya kerana terpaksa meletakkan anaknya dalam
sangkar untuk bekerja.
Hakim: Kamu letak (sangkar) di mana?
Ibu mangsa: Di belakang dapur rumah Adibah.
Hakim: Kenapa (letak dalam sangkar)?
Ibu: Tiada siapa nak jaga, saya perlu pergi kerja.
Hakim: Kamu kerja dari jam berapa ke berapa?
Ibu: 3 petang sampai 10 malam.
Hakim: Apa hubungan kamu dengan mangsa?
Ibu: Anak kandung saya.
Hakim: Kenapa letak anak kamu dalam sangkar, tapi tidak bagi
mak kamu jaga di Pulau Pinang? Kamu tiada jawapan?
Ibu: Tiada.
Hakim: Apa rancangan kamu terhadap anak selepas ini?
Ibu: Saya akan tinggal di Pulau Pinang selepas ini, ibu akan
jaga jika saya bekerja.
Adibah dalam rayuannya turut memohon hanya hukuman denda
dikenakan kerana mempunyai dua anak yang masih kecil.
"Saya mohon kurangkan hukuman hanya denda, tiada siapa
yang menjaga mereka di rumah, suami saya bekerja.
"Saya tidak mahu masuk penjara dan menyesal dengan
perbuatan ini, ini kali pertama dan terakhir saya melakukan kesalahan
ini," katanya.
Nor Azlin Fatin juga dalam rayuannya memohon hukuman ringan
kerana perlu menanggung adik beradik 10 orang dan ada antara mereka masih
kecil.
"Saya mengaku bersalah kerana bersubahat," katanya
yang mengesahkan tinggal di rumah sama dengan Adibah.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Joshua Tee Yee Khuan
mencadangkan hukuman pemenjaraan dikenakan ke atas ketiga-tiga mereka kerana
perbuatan tidak berperikemanusiaan dan menganiaya kanak-kanak berusia tidak
sampai tiga tahun.
Berdasarkan fakta kes, hasil siasatan pegawai penyiasat,
ketiga-tiga tertuduh bersama-sama menyebabkan penganiayaan terhadap mangsa
dengan menendang dan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Adibah menendang kanak-kanak itu beberapa kali sambil dirakam
Nor Azlin Fatin manakala ibu mangsa turut berada di tempat kejadian dan
membenarkan kejadian itu.
Rakaman video menunjukkan Adibah menendang mangsa beberapa kali di hadapan dua tertuduh lain di rumah berkenaan, hasil pemeriksaan awal perubatan menunjukkan terdapat kesan kecederaan pada bahagian kening, perut, belakang badan, tangan dan kaki.
Kredit: Harian Metro
0 Comments