"Sebenarnya, dahulu kita tolong orang, sekarang, orang
bantu kita pula."
Itu kata-kata terhambur dari mulut penyanyi yang terkenal
dengan irama nusantara pada era 1980-an, Sheqal yang tidak dapat menahan sebak
sebaik menerima sumbangan wang tunai RM5,000 pada majlis Sumbangsih PEKEMA
Prihatin di sini, hari ini.
Sheqal atau nama sebenar, Shahrin Salehuddin, 59, yang
popular dengan lagu Cinta Nusantara berterima kasih kepada pihak yang sudi
menghulur sumbangan ketika dirinya berdepan kesukaran hidup.
"Saya sedih. Terima kasih kepada Persatuan Pengimport
dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dan Persatuan Karyawan Malaysia
(KARYAWAN) yang membantu artis termasuk saya yang dianggap sudah 'expired'.
"Terima kasih kepada penderma yang sudah banyak membantu
artis. Sekurang-kurangnya, apa yang kami tanggung tidak membebankan.
"Saya bersyukur ramai rakan artis membantu. Malah, ada
yang dari Kuala Lumpur datang ke Seremban, Negeri Sembilan menziarahi saya.
Wartawan pun ramai yang datang," katanya.
Majlis Sumbangsih PEKEMA Prihatin dianjurkan Yayasan PEKEMA
dengan kerjasama KARYAWAN di sebuah hotel, di sini.
Selain Sheqal, kira-kira 30 artis termasuk pelakon, penyanyi,
pengarah dan penyampai radio menerima sumbangan masing-masing.
Sheqal berkata, dia sudah tidak mampu bekerja sejak diserang
angin ahmar, tahun lalu.
"Saya juga menghidap penyakit buah pinggang, kena angin
ahmar empat kali dan sebelum ini, percakapan saya tidak jelas... Sekarang baru
boleh bercakap.
"Saya alami semua ini selama lima tahun. Sekarang saja
boleh bercakap selepas mendapat rawatan di Muar, Johor. KARYAWAN yang
menghantar saya mendapatkan rawatan di sana.
"Dahulu, saya terlantar sahaja, tidak boleh berdiri.
Sekarang, Alhamdulillah, semakin baik," katanya.
Sheqal berkongsi sejak jatuh sakit, perniagaannya terjejas
dan tidak mampu menyanyi. Berikutan itu, beliau menzahirkan minat terhadap seni
melalui tulisan dan lukisan.
"Dahulu saya ada bisnes. Jadi, tidaklah rasa terbeban.
Sekarang, sudah tidak berniaga sejak sakit. Saya menulis untuk terus berkarya.
Saya tumpahkan hasil seni dalam bentuk buku dan lukisan.
"Biasanya, saya menulis selepas solat Tahajud dan
Dhuha... Inilah cara saya lupakan sakit buat seketika," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari
Noordin berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan KARYAWAN
menyantuni kira-kira 30 artis yang memerlukan.
"Ini adalah tanggungjawab sosial kami untuk memastikan
mereka yang memberi sumbangan besar kepada industri seni tidak dilupakan. Kami
harap bantuan ini dapat memberi kelegaan kepada mereka," katanya.
Antara yang menerima sumbangan adalah Datuk Sarimah Ahmad;
Datuk Jefrydin; Datuk Andre Goh; Zaiton Sameon; Shuib Freedom; Mariam Ahmad;
Norlia Ghani; Ali XPDC; Isma Alif; Shima; Sazali P Ramlee; Shasha Rohaizad; Nas
Ahmad; Alfred Ho; Roy dan Zul Mahat.
Turut dibantu Sathiya; Yus Barat; M Jamil; Sofia Ibrahim; Mak
Wan; DR Sam; Mak Jah; Kieran; Ebby Yus; Harun Hashim; Ruslan Salleh; Murali
Abdullah dan Zaleha Hamid.
Kredit: Berita Harian
0 Comments