Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan
telah melancarkan siasatan terhadap kerugian pelaburan RM43.9 juta yang
ditanggung oleh Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad dalam
FashionValet (FV).
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pelaburan
FashionValet itu membabitkan dana awam dan merupakan soal kepentingan awam,
lapor Astro Awani.
“Saya telah mengarahkan para pegawai saya untuk memulakan
siasatan kerana perkara ini melibatkan isu dana dan kepentingan awam.
“Jadi siasatan perlu (dilakukan) sama ada terdapat unsur-unsur jenayah atau tidak atau hal-hal lain berkaitan isu tatakelola,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat malam.
Terdahulu, Kementerian Kewangan memberikan jawapan bertulis
berhubung kerugian puluhan juta ringgit hasil pelaburan Khazanah dan PNB dalam
platform FashionValet.
Tidak lama kemudian, jurucakap kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil
meminta ketiga-tiga pihak itu memberi penjelasan berhubung kerugian pelaburan
tersebut yang melibatkan dana awam.
Dalam satu kenyataan rasmi, Vivy Yusof dan suaminya, Fadza
Anuar selaku pengasas FashionValet menyatakan dari awal bahawa mereka
bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan pelaburan.
Pada masa sama kedua-duanya mengumumkan meninggalkan
perniagaan dengan melepaskan jawatan mereka bagi mengelakkan syarikat berkenaan
terjejas.
Sementara Khazanah, PNB mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa
penjualan saham mereka adalah satu langkah keluar yang bertanggungjawab untuk
mengalih pemilikan kepada pihak yang mampu membantu mendorong syarikat ke arah
pertumbuhan baharu.
Kredit: Astro Awani, Vocket
0 Comments