SPRM mula siasat kerugian pelaburan Khazanah, PNB dalam FashionValet

SPRM mula siasat kerugian pelaburan Khazanah, PNB dalam FashionValet


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah melancarkan siasatan terhadap kerugian pelaburan RM43.9 juta yang ditanggung oleh Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad dalam FashionValet (FV).

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pelaburan FashionValet itu membabitkan dana awam dan merupakan soal kepentingan awam, lapor Astro Awani.

 


“Saya telah mengarahkan para pegawai saya untuk memulakan siasatan kerana perkara ini melibatkan isu dana dan kepentingan awam.

 

“Jadi siasatan perlu (dilakukan) sama ada terdapat unsur-unsur jenayah atau tidak atau hal-hal lain berkaitan isu tatakelola,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat malam.

 

Terdahulu, Kementerian Kewangan memberikan jawapan bertulis berhubung kerugian puluhan juta ringgit hasil pelaburan Khazanah dan PNB dalam platform FashionValet.

 

Tidak lama kemudian, jurucakap kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil meminta ketiga-tiga pihak itu memberi penjelasan berhubung kerugian pelaburan tersebut yang melibatkan dana awam.

 

Dalam satu kenyataan rasmi, Vivy Yusof dan suaminya, Fadza Anuar selaku pengasas FashionValet menyatakan dari awal bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan pelaburan.

 



Pada masa sama kedua-duanya mengumumkan meninggalkan perniagaan dengan melepaskan jawatan mereka bagi mengelakkan syarikat berkenaan terjejas.

 

Sementara Khazanah, PNB mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa penjualan saham mereka adalah satu langkah keluar yang bertanggungjawab untuk mengalih pemilikan kepada pihak yang mampu membantu mendorong syarikat ke arah pertumbuhan baharu.


Kredit: Astro Awani, Vocket

 





Post a Comment

0 Comments