Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai terkena
renjatan elektrik selepas terpegang jeriji besi pintu rumahnya yang
ditenggelami banjir di Kampung Banir Belikong, Selising di sini, pada Rabu.
Mangsa, Tuan Mohd Zakaria Tuan Ismail, 35, yang
merupakan seorang mekanik meninggal dunia di lokasi semasa kejadian kira-kira
jam 4.30 pagi.
Adik ipar, Siti Nur Aziana Bidin, 18, berkata, kejadian
yang menimpa bapa kepada dua anak itu sempat dilihat oleh anak lelakinya
berusia sembilan tahun.
"Semasa kejadian anak saudara saya duduk di atas
sofa, kemudian abang ipar yang kebetulan hendak masuk ke dalam rumah telah
memegang jeriji besi pintu.
"Kemudian saya terdengar suara abang ipar menjerit
dan rebah. Anak mangsa yang melihat kejadian itu kemudian telah memanggil
neneknya meminta tolong," katanya.
Menurut dia, disebabkan arus deras air di hadapan rumah
dan dalam menyebabkan Tuan Mohd Zakaria telah hanyut dibawa arus.
Ujarnya, rumah mereka terletak di tepi sungai dan
semasa kejadian hujan lebat serta air deras.
Siti Nur Aziana memberitahu, abangnya, Mohamad Nor
Hazli Bidin, 39, telah berusaha mencari Tuan Mohd Zakaria dengan meniti di atas
wayar paip getah yang diikat pada tiang rumah serta pokok.
"Sekitar jam 6 pagi, sebaik sahaja azan Subuh,
mayat abang ipar telah ditemukan di tepi rumah.
"Kemudian mayatnya diserahkan kepada pihak
berkuasa dan dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk tindakan selanjutnya,"
katanya.
Menurut Siti Nur Aziana, berhampiran jeriji besi pintu
rumah tersebut terdapat plag mesin basuh yang dipercayai punca kepada aliran
elektrik terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
Kredit: Sinar
0 Comments