Polis menahan pemandu lori yang menyebabkan nahas
mengorbankan penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta cedera di Jalan
Kerinchi dari arah Jalan Pantai Dalam menghala ke Jalan Pantai Baru, di sini.
Kejadian pagi Sabtu yang turut tular di media sosial itu
berlaku apabila lori terbabit yang berada dalam kawasan pembinaan tiba-tiba
bergerak secara mengundur.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala
Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pihaknya menerima
laporan kejadian pada 8.34 pagi, dengan kemalangan membabitkan motosikal, lori
dan kereta.
"Pemandu lori iaitu lelaki berusia 32 tahun berada dalam
kawasan tapak pembinaan bersama lori dipandunya untuk mengisi minyak brek.
"Ketika proses mengisi minyak brek, tiba-tiba lori
mengundur sendiri, lalu melanggar pagar pintu keselamatan dan masuk ke jalan
utama serta melanggar motosikal ditunggang lelaki berusia 32 tahun.
"Mangsa terjatuh dan terperosok di tayar belakang
sebelah kanan lori itu, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,"
katanya dalam kenyataan.
Katanya, lori berkenaan juga melanggar kereta di laluan
bersebelahan menyebabkan pemandunya luka di dahi.
"Pemandu lori sudah ditahan untuk siasatan lanjut
mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987," katanya.
Terdahulu, satu video memaparkan lori bergerak mengundur
secara tiba-tiba yang menyebabkan penunggang motosikal terjatuh ketika cuba
mengelak kenderaan itu.
Lori itu turut melanggar sebuah kereta di laluan
bersebelahan. Video berkenaan tular di media sosial dan menerima pelbagai
reaksi.
VIDEO:
Kredit: Berita Harian
0 Comments