(VIDEO) Penunggang motosikal maut, pemandu lori mengundur ditahan

(VIDEO) Penunggang motosikal maut, pemandu lori mengundur ditahan

 


Polis menahan pemandu lori yang menyebabkan nahas mengorbankan penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta cedera di Jalan Kerinchi dari arah Jalan Pantai Dalam menghala ke Jalan Pantai Baru, di sini.

 

Kejadian pagi Sabtu yang turut tular di media sosial itu berlaku apabila lori terbabit yang berada dalam kawasan pembinaan tiba-tiba bergerak secara mengundur.

 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 8.34 pagi, dengan kemalangan membabitkan motosikal, lori dan kereta.

 

"Pemandu lori iaitu lelaki berusia 32 tahun berada dalam kawasan tapak pembinaan bersama lori dipandunya untuk mengisi minyak brek.

 

"Ketika proses mengisi minyak brek, tiba-tiba lori mengundur sendiri, lalu melanggar pagar pintu keselamatan dan masuk ke jalan utama serta melanggar motosikal ditunggang lelaki berusia 32 tahun.

 

"Mangsa terjatuh dan terperosok di tayar belakang sebelah kanan lori itu, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan.

 

Katanya, lori berkenaan juga melanggar kereta di laluan bersebelahan menyebabkan pemandunya luka di dahi.

 

"Pemandu lori sudah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987," katanya.

 

Terdahulu, satu video memaparkan lori bergerak mengundur secara tiba-tiba yang menyebabkan penunggang motosikal terjatuh ketika cuba mengelak kenderaan itu.

 

Lori itu turut melanggar sebuah kereta di laluan bersebelahan. Video berkenaan tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi.


VIDEO:






Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments