Penyanyi veteran, Allahyarham Aspalela Abdullah, 79,
meninggal dunia kira-kira jam 10 pagi, hari ini, selepas terjatuh dalam bilik
air di rumahnya.
Cucunya, Puteri Wan Nur Izzati Azhari, 30, ketika dihubungi
berkata, Allahyarham neneknya itu memang kurang sihat sejak beberapa bulan lalu
akibat faktor usia dan tidak menghidapi sebarang penyakit kronik.
Allahyarham meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke
Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Nenek disedari jatuh dalam bilik air pada jam 8.30 pagi
dan kami sekeluarga terus hubungi ambulans. Arwah disahkan meninggal dunia kira
jam 10 pagi ini ketika dalam perjalanan ke HKL.
"Keadaan kesihatan nenek memang dah merosot sejak
beberapa bulan lalu. Arwah pun sudah lama tidak menyanyi kerana keluarga mahu
dia berehat saja di rumah," katanya.
Menurut Nur Izzati, neneknya memang tinggal dan dijaga oleh
ibunya juga anak kedua Aspalela, Raja Nur Hanisah, 54, sejak dia masih kecil
dan kini berusia 30 tahun.
Jenazah Aspalela disolatkan di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi
Taman Melati, di sini, dan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul
Sakinah, Taman Ibukota selepas solat Asar.
Allahyarham yang juga balu kepada pelawak dan pengarah,
Allahyarham Raja Ismail Raja Saat meninggalkan dua anak dan tiga orang cucu.
Arwah sudah enam dekad berada di dalam industri hiburan
adalah figura yang cukup dikenali dalam genre irama Melayu asli.
Allahyarham yang cukup dikenali dengan lagu Payung Mahkota
dan Titian Kasih Ke Syurga pernah menghasilkan album Joget Cari Makan
diterbitkan Omar Taib pada 1991.
Album itu dianggap oleh Allahyarham sebagai 'album cari
makan' kerana lagu-lagu dimuatkan di dalamnya sering dinyanyikan Aspalela dalam
setiap undangan persembahan.
Kredit: Harian Metro
0 Comments