"Ayah tak dapat melihat kamu berjaya" - Dua beradik menangis mandikan jasad kaku ayah

 



    

Kasih ibu hingga ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Sebak ketika mengenangkan ayah yang pergi begitu cepat meninggalkan mereka yang masih kecil lagi. Kisah dua beradik ini menyentuh hati sesiapa sahaja yang pernah merasai kehilangan sosok seorang ayah.


"Waktu itu sedih sangat kerana masa kecil ayah mandikan saya tapi bila sudah besar, saya pula mandikannya tapi dalam keadaan sudah tak bernyawa."

 

Itu luahan Aliff Hakimi Mansor, 13, ketika menceritakan kisahnya bersama adiknya, Ilham Hafiz Mansor, 9, memandikan jenazah bapanya, Mansor Mahmood.

 

Kisah dua beradik itu meruntun hati warganet selepas dikongsikan Che Mohd Ibrahim Che Ghani, 44, yang juga pengasas Persatuan Kebajikan Pengurusan Jenazah Warga Terengganu (PJWT) di akaun Facebook (Fb) miliknya.

 

Berkongsi kisah itu, Aliff Hakimi yang menetap di Kampung Padang Tara, dekat sini berkata, bapanya, meninggal dunia pada kira-kira jam 10.46 malam, 9 Disember lalu akibat barah hati tahap empat.

 

Katanya, bapanya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dekat sini dan dia menerima khabar duka itu selepas dimaklumkan ibunya, Rokiah Yusoff, 49.

 

"Waktu itu saya sedang baca Yasin (surah Yasin) di rumah datuk.

 

"Terkejut dan sedih. Pagi esoknya, saya dapat ke tempat mandi jenazah (di pusat PJWT) dan ajak adik mandikan ayah kerana nanti tak dapat pegang lagi ayah.

 

"Gugur juga air mata saya kerana itu kali terakhir saya pegang, mandikan, lap dan usap badan ayah. Tapi saya bersyukur kerana dapat buat (mandikan) dan wajah ayah macam tengah tidur dan lebih cerah," katanya.


Aliff Hakimi berkata, sebelum meninggal dunia, bapanya sempat membeli sabun mandi dan berus gigi untuk bekalan keperluannya di asrama selain kasut sekolah untuk adiknya walaupun dalam keadaan tidak sihat.

 

Katanya, terlalu banyak dan besar pengorbanan bapanya yang akan dikenang sehingga akhir hayatnya.

 

"Ayah sanggup buat macam-macam kerja untuk cari rezeki sara kami sekeluarga antaranya jadi pemandu teksi, buruh binaan dan terbaru mengait kelapa sawit.

 

"Walaupun tegas, ayah sayang saya dan adik cuma sebelum pergi, ayah pernah cakap dia tak sempat tengok saya berjaya.

 

"Rasa macam tak bersemangat nak belajar selepas ayah tiada. Tapi saya berdoa semoga Allah SWT ampunkan dosa ayah, lapangkan kuburnya dan pertemukan kami di syurga nanti," katanya yang bercita-cita menjadi guru.

 

Sementara itu, pemandi jenazah merangkap pengerusi PJWT, Wan Rosli Wan Mamat, 47, mengakui sebak melihat detik Aliff Hakimi dan adiknya, Ilham Hafiz memandikan jenazah bapa mereka.

 

Katanya, walaupun dalam kesedihan, dua beradik itu menyempurnakan tanggungjawab memandikan jenazah bapanya buat kali terakhir.

 

"Saya mandikan jenazah arwah seawal jam 7.30 pagi dan tak lama kemudian, dua beradik itu masuk lengkap dengan memakai sarung tangan.

 

"Sambil merenung jasad bapa yang sudah kaku, anak sulung arwah (Aliff Hakimi) bertanyakan soalan yang membuatkan saya tersentak.

 

"Antaranya di mana nyawa bapanya, ke mana Allah SWT meletakkannya dan boleh tak dia bertemu semula bapanya.

 

"Saya cuba tenangkannya, kemudian dua beradik itu usap badan bapanya dan saya nampak air mata mereka mengalir.

 

"Itu antara detik paling sebak pernah saya lihat sepanjang menguruskan jenazah sejak 25 tahun lalu mengenangkan mereka masih budak tapi sudah kehilangan bapa," katanya.

 

Bagaimanapun, Wan Rosli kagum melihat semangat dan kasih sayang ditunjukkan dua beradik itu terhadap bapa mereka.

 

"Mereka tak nampak takut pun cuma nampak riak wajah sedih teramat dengan pemergian bapa.

 

"Tapi saya sempat beritahu dua beradik itu supaya sentiasa doakan bapa mereka," katanya.


Kredit: Harian Metro



Post a Comment

0 Comments