PADANG BESAR: Pemilik
kenderaan asing terutama dari Thailand dikehendaki melunaskan saman trafik
tertunggak milik mereka sebelum meninggalkan negara ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padang
Besar, Superitendan Sarih Salleh berkata, berdasarkan operasi yang dilaksanakan
pihaknya mendapati ada kenderaan dari negara jiran itu yang mempunyai 14 saman
trafik tertunggak.
"Kita kesan terdapat pemilik
kenderaan dari Thailand ini ada yang mempunyai 14 saman trafik tertunggak atas
pelbagai kesalahan jalan raya dan ini memberi maksud bahawa pemilik ini tidak
peduli dengan peraturan jalan raya negara ini.
"Negara kita bukannya tempat untuk
mengumpulkan saman trafik ini dan setiap pemilik kenderaan asing ini seperti
kereta persendirian, van pelancong, pikap barangan dagangan dan motosikal
dikehendaki menyelesaikan terlebih dahulu tunggakan saman tertunggak mereka
sebelum meninggalkan negara ini.
"Kegagalan berbuat demikian
membolehkan kita mengambil tindakan untuk tidak membenarkan mereka pulang ke
negara asal mereka selagi tunggakan saman trafik ini tidak dilunaskan dengan
segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau
perjalanan Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA) 2024 Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Padang Besar yang dijalankan di pintu masuk dan pintu keluar
Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar,
semalam.
Sarih berkata, terdapat 704 saman yang
dikeluarkan polis IPD Padang Besar terhadap warga asing sepanjang tahun ini
sehingga semalam.
"Daripada jumlah itu, 308 saman
yang dikeluarkan kepada warga asing sebelum ini didapati masih tertunggak
membabitkan jumlah sebanyak RM36,790 dan daripada jumlah itu juga 269 saman
(warga asing) ini berjaya diselesaikan membabitkan kutipan keseluruhan
berjumlah RM172,920.
"Sehubungan itu, bagi memastikan
pematuhan dalam kalangan warga asing terutama Thailand di kawasan sempadan
Malaysia-Thailand di Padang Besar ini benar-benar dipatuhi maka kita
menjalankan satu Op Khas iaitu perjalanan Operasi Saman Tertunggak Warga Asing
(OSTWA) 2024 di laluan masuk dan keluar menuju negara ini di Kompleks ICQs
Padang Besar bermula dari 11 Disember lalu sehingga semalam.
"Dalam operasi ini juga, sebanyak
693 pelbagai kenderaan dari Thailand diperiksa dan kita berjaya mengesan
sebanyak 121 kenderaan yang mempunyai 144 saman pelbagai kesalahan trafik
seperti tiada lesen memandu, cukai jalan dan insurans tamat tempoh, menghalang
lalu lintas, tidak memakai tali pinggang dan topi keledar, membawa muatan
berbahaya dan tidak patuh petunjuk arah trafik," katanya.
Beliau berkata, sepanjang operasi tiga
hari itu, sebanyak RM19,480 kutipan bayaran semula saman tertunggak milik warga
asing berjaya diperolehi.
"Pihaknya akan terus menjalankan
operasi berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap pengguna jalan
raya warga asing ini tidak ingkar dengan pematuhan undang-undang trafik negara
ini," katanya.
0 Comments