Pengurus Manchester United, Ruben Amorim seakan mula
menikmati perjalanannya bersama pasukan itu selepas ditabalkan sebagai ‘raja
Manchester’ susulan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Manchester City awal pagi
semalam.
Kemenangan derbi Manchester dalam aksi Liga Perdana Inggeris
itu adalah kali kedua berturut-turut Amorim menewaskan Pep Guardiola selepas
terdahulu mengaibkan pengurus City tersebut 1-4 ketika bersama Sporting Lisbon
dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah awal bulan lalu.
Menariknya, kejayaan kali ini dilakukan tanpa dua bintang
utama United, Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho yang tiada dalam senarai
pasukan pada aksi di Stadium Etihad itu.
Situasi itu dilihat seperti mesej jelas daripada Amorim
kepada barisan pemainnya bahawa beliau tidak teragak-agak untuk menggugurkan
mana-mana bintang sekiranya gagal mencapai standard seperti ditetapkannya.
“Minggu depan, perlawanan seterusnya, kehidupan baharu dan
mereka perlu berjuang merebut tempat. Apa yang penting adalah prestasi dalam
latihan dan perlawanan, cara anda berpakaian, makan, berinteraksi serta
mendorong rakan sepasukan
“Semua perkara sangat penting dan ini adalah permulaan untuk
mengubah banyak perkara. Kami perlu meletakkan standard yang tinggi dan untuk
itu, mereka perlu berjuang mendapat tempat mereka dalam pasukan.
“Hari ini kami membuktikan kami boleh mengenepikan sesiapa
sahaja daripada skuad dan anda boleh menang jika anda bermain bersama,” kata
Amorim.
Biarpun masih kekal di tangga ke-13 tetapi dua gol daripada
Bruno Fernandes dan Amad Diallo memastikan United menamatkan rekod dua
kekalahan berturut-turut dalam aksi EPL sebelum ini.
Kredit: AGENSI
0 Comments